“TIDAK layak kekal di situ.’ Demikian reaksi Tengku Razaleigh Hamzah terhadap rakaman audio mirip suara Presiden Umno Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tular.
Tengku Razaleigh berkata jika suara audio itu sah terbukti dan tulen milik Ahmad Zahid dan Anwar, seharusnya Presiden Umno itu bertanggungjawab kerana mengecewakan harapan ahli parti terhadap kepimpinannya.
“Pada pandangan saya tak baguslah, seorang pemimpin patut tidak berlagak macam itu. Dia mesti lebih bertanggungjawab sebab orang meletakkan harapan kepadanya untuk memimpin dengan lebih baik.
“Mengenai rakaman audio ini, tak tahulah betul atau tak tapi dengar suara macam dia punya suara.
“Kalau benar itu suara dia, kalau benar dia mempunyai niat macam itu. Sebagaimana suara dia, sememangnya dia tidak bertanggungjawab, tidak layak kekal di situ,” kata tokoh veteran Umno itu yang dipetik dari Sinar Harian, hari ini.
Rakaman kira-kira empat minit itu tular di media sosial yang berkisar perbualan susulan apa yang berlaku pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2020 pada akhir bulan lalu.
Kendengaran individu yang suaranya mirip Anwar didengar memuji individu yang memiliki suara seakan Zahid kerana berjaya mengendalikan PAU itu.
Bagaimanapun Ahmad Zahid menafikan wujud perbualan dengan Anwar seperti dalam audio rakaman yang tular di media sosial.
Malah, Ahmad Zahid menegaskan tiada sebarang perbualan antaranya dengan Presiden PKR itu selepas PAU 2020 baru-baru ini.
Berikutan itu beliau telah mengarahkan pegawainya untuk segera membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dilakukan untuk mengenal pasti dalang terlibat.
Malam tadi, Anwar turut menafikan beliau adalah individu dalam audio tersebut dan telah mengarahkan pegawainya membuat laporan polis. – Malaysiapost

