Highland Towers perlu diroboh, beri laluan projek pembangunan baharu

0
2

BANGUNAN Highlands Towers di Ampang yang lama ditinggalkan perlu dirobohkan dan dibersihkan bagi memberi laluan kepada projek pembangunan bersesuaian untuk manfaat khususnya penduduk sekitar.

Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan (KPKT) menerusi kenyataan berkata kawasan tapak Highland Towers yang telah lama terbiar kini menjadi sarang penagih dadah.

Pada masa sama, ia mengundang rasa kurang senang dan tidak selesa dalam kalangan penduduk setempat kerana wujud masalah sosial di kawasan tersebut.

“Pembangunan semula tapak Highland Towers ini dan kerja-kerja pengindahan yang akan dilaksanakan pastinya akan memberi nafas baharu dan mewujudkan persekitaran yang selesa.

“Suasana yang lebih ceria itu seterusnya akan dapat menjamin keselamatan dan kesejahteraan penduduk di sekitar kawasan Highland Towers,” kata KPKT hari ini.

Semalam, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Zuraida Kamaruddin bersama pegawai KPKT mengadakan lawatan ke tapak Highland Towers di Taman Hillview Hulu Klang.

Pada 11 Disember 1993, satu daripada tiga blok kondominium 12 tingkat itu runtuh mengakibatkan 48 nyawa terkorban.

Dua lagi blok kondominium itu terpaksa dikosongkan atas faktor keselamatan dan terbiar sehingga sekarang.

Mengulas lanjut,.KPKT berkata pihaknya telah merancang untuk melakukan kerja pembersihan dengan meruntuhkan dua blok yang ditinggalkan sejak tragedi hitam itu.

“Satu daripada tiga blok telah runtuh manakala baki dua blok lagi telah dikosongkan atas faktor keselamatan.

“Permohonan peruntukan RM8.9 juta untuk pengambilan tanah seluas hampir dua ekar (0.8 hektar) di kawasan itu daripada kerajaan negeri telah dikemukakan kepada Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri.

“Kerja-kerja perobohan bangunan sedia ada dan pembersihan kawasan tersebut hanya boleh dilakukan selepas pembayaran pampasan diselesaikan.

“Selepas kerja perobohan selesai, kawasan tersebut perlu dibersihkan serta diperindahkan,” katanya.

Menurut KPKT lagi, projek-projek pembangunan yang bersesuaian akan dilaksanakan di atas kawasan tapak Highlands Towers bagi mengoptimumkan penggunaan tanah sedia ada secara lebih efektif. – Malaysiapost.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here