SYARIKAT selipar tempatan Fipper tampil memohon maaf susulan kontroversi produk koloborasi dengan selebriti Noor Neelofa yang dikatakan sebagai ‘mesra Muslim’.
Berdasarkan penerangan Fipper, apa yang dimaksudkan dengan istilah itu adalah produk itu dihasilkan sesuai untuk kegunaan wanita beragama Islam.
“Pihak Fipper ingin memberi penjelasan berkenaan isu mesra Muslim yang tular di media sosial ketika ini.
“Produk slip on Fipper X The Noor sesuai untuk kegunaan Muslimah yang memakai stoking. Ia kerana produk kami sebelum ini kurang bersesuaian dengan imej Muslimah berstoking seperti dinyatakan dalam siaran akhbar sebelum ini.
“Pihak Fipper ingin memohon maaf atas kekeliruan yang berlaku,” kata Fipper dalam kenyataan.
Isnin lalu, Fipper melancarkan produk slip on Fipper X The Noor, kolaborasi bersama selebriti Neelofa, di Putrajaya.

Bagaimanapun, istilah ‘mesra Muslim’ yang dikaitkan dengan selipar tersebut dikecam segelintir pihak kerana reka bentuknya yang lebih kurang sama dengan selipar sedia ada di pasaran.
Ada juga pihak menggesa jenama itu diboikot kerana didakwa mempergunakan agama untuk melariskan produk.
Nama Neelofa sejak akhir-akhir ini menjadi perbualan hangat selepas kontroversi majlis pernikahannya didakwa melanggar prosedur operasi standard (SOP).
Selain itu, pelakon berkenaan turut mencetus rasa tidak puas hati ramai pihak selepas pergi ke Pulau Langkawi, Kedah bersama suami, PU Riz selepas pernikahan mereka.
Pasangan itu menegaskan ke sana atas urusan kerja tetapi ramai pihak mendakwa pasangan itu melanggar kebenaran rentas negeri yang diberikan untuk berbulan madu.
Berikutan itu, polis memanggil pihak terlibat untuk diambil keterangan dan kedua-dua kes tersebut masih dalam siasatan polis. – Malaysiapost
.
Artikel berkaitan :
https://malaysiapost.com.my/2021/04/06/neelofa-dan-suami-selesai-beri-keterangan/

