Zii Jia ada persamaan dengan Chong Wei – Misbun

0
1

JUARA perseorangan lelaki All England 2021, Lee Zii Jia mempunyai persamaan dengan bekas pemain nombor satu dunia dan jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei.

Perkara itu dinyatakan legenda badminton tanah air yang juga bekas jurulatih Chong Wei, Datuk Misbun Sidek.

Menurut Pengarah teknikal skuad badminton remaja negara itu, persamaan dapat dilihat dari segi keupayaan dan karisma Zii Jia, 23, selain pembawaan dirinya dalam meniti kerjaya menjadi pemain terbaik dunia, lapor Bernama.

“Kalau pada usia muda macam ni, dengan pukulan padu dan kuat, cara dia menerima tekanan di pertandingan besar, ini baru dua kali dia bermain di All England. Tahun lepas dia dapat masuk ke separuh akhir dan tahun ini jadi juara.

“Jadi ciri-ciri dan karisma (yang ada pada Chong Wei) itu ada (pada dirinya), cara dia membawa dirinya (seperti Chong Wei) memang ada,” katanya di Istana Negara semalam selepas hadir jamuan teh bersama skuad All England 2021 negara.

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah semalam berkenan meraikan skuad negara ke Kejuaraan All England 2021 dalam Majlis Jamuan Teh di Istana Negara.

Zii Jia merangkul gelaran sulung All England bulan lalu dengan menumbangkan nama besar badminton seperti pemain nombor satu dunia dari Jepun, Kento Momota pada suku akhir sebelum menewaskan juara bertahan dari Denmark, Viktor Axelsen pada aksi final.

“Tetapi sekarang ini bagaimana nak membentuk dia (Zii Jia) ke arah yang lebih tangkas dan jitu lagi dari keseluruhan aspek. Maksudnya dari segi fizikal, teknik, taktikal, mental dan deria rasanya,” kata Misbun.

Selaku individu bertanggungjawab mencungkil bakat serta membentuk Chong Wei dan Zii Jia, Misbun berpendapat Zii Jia perlu memberi tumpuan bagi meningkatkan aspek kecergasan fizikal untuk menjadi seorang pemain yang lebih stabil dalam kesemua kejohanan peringkat tertinggi. – Malaysiapost

Artikel berkaitan:

https://malaysiapost.com.my/2021/04/06/agong-berkenan-terima-raket-zii-jia/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here