PENGASAS bersama Hong Leong Group, Tan Sri Quek Leng Chan yang mempunyai nilai bersih AS$9.7 bilion (RM40 bilion) kini bilionair paling kaya di Malaysia selepas Forbes menyenaraikan Robert Kuok sebagai warga Hong Kong.
Ini diikuti T Ananda Krishnan dan pengasas Public Bank Bhd, Tan Sri Teh Hong Piow, lapor Berita Harian.
Turut disenarai, bilionair sarung tangan iaitu Pengerusi Hartalega Holdings Bhd, Kuan Kam Hon dan keluarganya serta pengasas Top Glove Corp Bhd, Tan Sri Dr Lim Wee Chai.
Bilionair lain termasuk Pengerusi Genting, Tan Sri Lim Kok Thay dan hartawan Bumiputera, Tan Sri Syed Mokhtar Albukhary.
Senarai bilionair Forbes ke-35 menamakan 2,755 individu, termasuk 493 pendatang baharu ketika dunia berhadapan cabaran ekonomi berikutan pandemik Covid-19.
Pengasas MR DIY Group (M) Bhd, Tan Yu Yeh dan adiknya, Tan Yu Wei antara dalam senarai bilionair baharu Forbes pada tahun ini.
Nilai kekayaan bersih Yu Yeh dianggar kira-kira AS$1.8 bilion (RM7.4 bilion) manakala Yu Wei pula AS$1.1 bilion (RM4.5 bilion).
Adik beradik itu menyertai Pengerusi Eksekutif Westports Holdings Bhd, Tan Sri G Gnanalingam dan pengasas bersama merangkap Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Greatech Technology Bhd, Tan Eng Kee.
Senarai bilionair Forbes ke-35 menganggarkan nilai kekayaan bersih Gnanalingam kira-kira AS$1.7 bilion (RM7 bilion), manakala Eng Kee, yang mengasaskan syarikat pengeluar peralatan automasi kilang di Pulau Pinang mempunyai kekayaan bersih AS$1.1 bilion (RM4.5 bilion).
MR DIY, yang disenaraikan di Pasaran Utama pada Oktober tahun lalu, adalah tawaran awam permulaan (IPO) terbesar di Bursa Malaysia sejak 2017.
Ia mempunyai permodalan pasaran RM10 bilion, dengan penyenaraian itu menjana kira-kira RM1.5 bilion daripada pelabur institusi dan runcit.
Daripada harga tawaran RM1.60 pada Oktober, saham MR DIY melonjak lebih dua kali ganda setakat ini.
Di peringkat global, CEO Amazon, Jeff Bezos yang akan melepaskan jawatannya tidak lama lagi kekal mengungguli senarai bilionair terkaya dunia buat tahun keempat berturut-turut.
Ini diikuti oleh CEO Tesla, Elon Musk dan CEO LVMH Moët Hennessy iaitu pemilik jenama mewah LV, Bernard Arnault.
Melengkapi senarai lima bilionair terkaya dunia adalah Bill Gates dan Mark Zuckerberg. – Malaysiapost

