Sindiket godam data imigresen: Lebih 20,000 pekarja asing disyaki miliki PLKS palsu

0
1

JABATAN Imigresen (JIM) mengenal pasti 21,328 pekerja asing disyaki memiliki Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) palsu atau dikeluarkan secara tidak teratur oleh sindiket menggodam data imigresen, didalangi lelaki bergelar Datuk yang ditumpaskan semalam.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata pihaknya telah melaksanakan operasi bagi mengesan kesemua pekerja asing terbabit di seluruh negara sejak tahun lalu, sebaik kegiatan menggodam data imigresen dikesan.

“Tangkapan dibuat dari semasa ke semasa, semua yang tidak mempunyai pas atau pas diragui akan ditangkap. Selepas dipenjara, kita akan usir mereka dan senarai hitam.

“Kita telah menggerakkan semua pejabat imigresen di seluruh negara untuk kesan mereka, bukan sahaja pekerja, majikan juga akan didakwa jika terlibat menggunakan PLKS secara tidak teratur ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media bersama Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya hari ini.

SPRM dan JIM semalam menumpaskan sindiket pengeluaran PLKS palsu yang menggodam data imigresen susulan serbuan di 22 lokasi sekitar ibu negara serta Sungai Petani dan menahan lima individu termasuk dalang utama bergelar Datuk.

Susulan itu, SPRM menyita pelbagai jenis kereta mewah, hartanah dan jam tangan yang keseluruhannya bernilai RM25.56 juta.

Mengulas lanjut, Khairul Dzaimee berkata sindiket terbabit menggunakan modus operandi dengan menggodam pangkalan data JIM dan seterusnya memberi akses kepada anggota sindiket untuk menukar kata laluan pegawai imigresen.

Katanya, ia membolehkan anggota sindiket beroperasi di luar termasuk hotel, seterusnya mencetak PLKS yang dijual pada harga antara RM5,000 hingga RM6,500 berbanding cuma maksimum RM2,100 bagi pekerja asing dalam sektor perkhidmatan dikeluarkan JIM.

“Sindiket ini telah beroperasi beberapa tahun dengan menyebabkan kerugian kepada hasil kerajaan sebanyak RM4.7 juta mengikut Laporan Ketua Audit Negara 2018.

“Dengan tumpasnya sindiket ini, saya percaya masalah ni sudah diatasi dan sebagai penyelesaian jangka panjang, kerajaan telah setuju membina sistem baharu menggantikan sistem sedia ada yang digunakan lebih 15 tahun,” katanya.

Beliau berkata setakat ini tiada pegawai imigresen ditahan namun percaya ada penglibatan dalam ‘orang dalam’ dan tidak akan berkompromi terhadap mereka yang terlibat. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here