PENGARAH Pilihan Raya Umno, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman diminta tidak menimbulkan kekeliruan dan mewujudkan tanda tanya baharu kepada ahli-ahli parti.
Ini kerana kata Ketua Bahagian Umno Hulu Selangor, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan, Umno telah membuat satu ketetapan jelas dalam Perhimpunan Agung Umno 2020 lalu.
Katanya, kenyataan Tajuddin yang menyebut apa sahaja boleh berlaku termasuk Umno menerima DAP jika parti itu berubah menjadi sederhana perlu dibuktikan melalui kesediaan DAP untuk mengubah Perlembagaan parti.
Beliau mendakwa, semua pihak tahu Perlembagaan DAP adalah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan ia diyakini tidak akan diubah dengan mudah.
“Tajuddin tidak perlu mempersoalkan semula apa yang diputuskan dalam perhimpunan parti dan memperbesarkan benda yang sudah lapuk, sebaliknya mencari strategi baharu untuk survival Umno.
“Soal ‘No DAP’ sudah diputuskan, jadi hormatilah apa yang diputuskan, kalau nak persoal semula, beliau dilihat tidak ada idea baharu.
“Apabila orang sudah buat keputusan, apa yang beliau cakap sudah jadi lapuk. Jangan dibesar-besarkan benda lapuk, buatlah strategi baharu,” katanya seperti dilaporkan Utusan Malaysia.
Mengulas lanjut, Mat Nadzari berkata, DAP telah menjadi sentimen kepada orang Melayu sejak dahulu dan pihak-pihak tertentu perlu faham sejarah parti itu sebelum menjalin kerjasama.
“Jika DAP mahu ‘menyambut’ apa yang dicakapkan Tajuddin, parti itu perlu bersedia mengubah Perlembagaan parti mereka.
“Ubah dahulu Perlembagaan DAP untuk menunjukkan DAP boleh menerima Perlembagaan Persekutuan dengan baik,” katanya.
Terdahulu, Tajuddin dilaporkan berkata tidak menolak Umno bekerjasama dengan mana-mana pihak termasuk bekerjasama dengan PKR, DAP dan Amanah.
Katanya, dalam politik kerjasama dengan mana-mana pihak bukan sesuatu yang mustahil.
“Apa sahaja boleh berlaku dalam politik,” katanya. – Malaysiapost

