Tempoh singkat sebagai KP KPM sangat mencabar – Dr Habibah

0
1

DATUK Dr Habibah Abdul Rahim menyifatkan tempoh singkat sebagai Ketua Pengarah Pelajaran sebagai sangat mencabar sepanjang 35 tahun berkhidmat sebagai penjawat awam.

Dr Habibah yang bersara semalam berkata ini kerana ketika tempoh singkat itu negara diuji dengan penularan pandemik Covid-19.

“Covid-19 benar-benar menguji sektor pendidikan seluruh dunia termasuklah negara kita. Namun di sebalik ujian yang tidak dijangka ini sebenarnya banyak perkara yang boleh warga KPM banggakan.

“Kita berjaya meneruskan pengajaran dan pembelajaran (PdP) walaupun ia tidak dapat menggantikan pembelajaran secara bersemuka, namun keutamaan KPM untuk terus memastikan murid kekal menerima pendidikan harus dibanggakan.

“Garis panduan dikeluarkan KPM menjadi panduan buat semua pihak berkepentingan dalam memastikan kelangsungan pendidikan. KPM telah melakukan sebaik mungkin agar impak terhadap pembelajaran murid dapat dikurangkan,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Dr Habibah dilantik sebagai Ketua Pengarah Pelajaran berkuat kuasa 10 Januari 2020, menggantikan Datuk Dr Amin Senin yang bersara wajib pada 21 Disember 2019.

Antara jawatan yang pernah disandang beliau di KPM termasuk Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran (Sektor Dasar dan Kurikulum), Pengarah Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan (BPPDP), Pengarah Eksekutif Unit Pelaksanaan dan Prestasi Pendidikan (PADU) dan pensyarah kanan di Institut Aminuddin Baki (IAB).

Dr Habibah, yang merupakan Ketua Pengarah Pelajaran ke-17, adalah wanita kedua menggalas jawatan itu.

Menulis lebih lanjut, Dr Habibah berkata sepanjang tempoh pandemik, KPM juga berjaya melaksanakan peperiksaan awam dan pentaksiran pusat dengan lancar.

Malah, beliau melahirkan rasa syukur kerana tiada kluster Covid-19 yang wujud di pusat peperiksaan seluruh negara.

“Saya juga merasakan, perubahan ke arah pendidikan digital berlaku dengan agak pantas semasa tempoh penutupan sekolah.

“Ramai warga pendidik yang beradaptasi dengan baik terhadap tuntutan perubahan PdP menggunakan teknologi dan berasaskan digital.

“Dalam tempoh ini, KPM mengembalikan semula siaranTV Pendidikan melalui DIDIKTV KPM yang disiarkan secara terrestrial bagi menyokong PdP secara berterusan,” katanya.

Justeru, beliau yakin Dasar Pendidikan Digital yang sedang dirangka dengan rapi oleh KPM akan berjaya memenuhi keperluan pendidikan masa hadapan khususnya ketika berhadapan krisis.

Katanya lagi, mulai semalan murid di semua peringkat persekolahan kembali ke sekolah dan ia juga merupakan kejayaan KPM sepanjang tempoh yang penuh mencabar itu.

“Untuk semua warga pendidik dan rakan-rakan di PPD, JPN dan KPM saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih atas segala kerjasama, sokongan dan bantuan yang diberi kepada saya sepanjang dalam perkhidmatan awam. Teruskan bersama-sama melangkah lebih jauh!,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here