SPRM temui wang tunai RM3.5 juta di rumah ketua kartel

0
1

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menemui wang tunai RM3.5 juta di kediaman ketua sindiket kartel tender bergelar Datuk dalam serbuan semalam.

Difahamkan, kenderaan mewah bernilai RM15.7 juta dan pelbagai unit hartanah merangkumi banglo, rumah kedai, pejabat dianggar bernilai RM29 juta turut disita dalam serbuan itu, lapor Berita Harian.

Sebanyak 644 akaun individu dan syarikat dianggar bernilai RM100 juta dibekukan dalam siasatan kes kartel projek.

Terdahulu, SPRM menahan tujuh individu dipercayai anggota sindiket kartel memonopoli ratusan tender kementerian dan agensi kerajaan sejak tujuh tahun lalu.

Penahanan itu termasuk ketua sindiket berusia 47 tahun dipercayai berjaya melumpuhkan sindiket kartel projek dan tender kerajaan dengan nilai projek dianggarkan mencecah RM3.8 billion.

Kartel terbabit dikatakan memonopoli 345 tender daripada beberapa kementerian dan agensi kerajaan di seluruh negara dan dipercayai beroperasi sejak 2014.

Sementara itu, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali menerusi kenyataan hari ini menyokong penuh segala usaha untuk membenteras salah laku dan penyelewangan dalam sistem penyampaian kerajaan terutama isu berkaitan rasuah yang dikendalikan SPRM.

Menurutnya, pendedahan SPRM terhadap sindiket kartel tender kerajaan bernilai RM3.8 bilion amat membimbangkan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, kes itu telah mula dikesan sejak 2014 dan hasil pemerhatian serta risikan berterusan SPRM telah membawa kepada penahanan beberapa individu yang menjadi suspek utama siasatan. – Malaysiapost


Artikel berkaitan :
https://malaysiapost.com.my/2021/04/05/kartel-sprm-tahan-7-individu-monopoli-tender-kerajaan-rm3-8-bilion/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here