MUNGKINKAH Stadium Likas akan menjadi saksi rekod tanpa kalah Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam saingan Liga Super bakal lebur malam ini?
Bagi ketua jurulatih Sabah FC, Kurniawan Dwi Yulianto, perkara itu tidak mustahil berlaku memandangkan skuad Sang Badak sebelum ini pernah mencalarkan rekod tanpa kalah Terengganu FC di halaman sendiri.
Bagi pengendali dari Indonesia itu, peluang mencipta kejutan tetap ada, lebih-lebih lagi dengan kehadiran penyokong meskipun JDT kini mengungguli persada liga.
Katanya, persiapan rapi telah dilakukan bagi memperbaiki beberapa kelemahan termasuk menganalisis video perlawanan JDT untuk melihat ruang yang boleh digunakan dalam usaha memerangkap juara Liga Super tujuh tahun berturut-turut itu.
“Sudah pasti semua pihak termasuk peminat setia ‘Rhinos’ mengharapkan kemenangan berpihak kepada Sabah FC yang bermain di Stadium Likas sambil disaksikan sendiri oleh kehadiran pertama penonton.
“Kita memberi jaminan untuk melakukan persembahan terbaik sebagai hadiah kepada mereka yang hadir ke stadium malam esok,” katanya menerusi kenyataan semalam.
Kurniawan berkata, mood pemain Sabah FC juga berada pada tahap membanggakan sekali gus dia berharap pemain dapat mengekalkan dan meneruskan rentak permainan terbaik seperti dipamerkan dalam beberapa perlawanan sebelum ini.
“Apa yang pasti Sabah FC pasti akan melakar sejarah sebagai kelab pertama dapat menewaskan JDT di Stadium Likas… kita yakin jika semua pemain menunjukkan komitmen 100% tidak mustahil perkara ini dapat dicapai,” katanya.
Sementara itu Kurniawan berkata, pemain import Park Taesu tidak dapat diturunkan malam ini akibat penggantungan kerana telah memungut tiga kad kuning.
“Saya yakin dengan pemain sedia ada dalam Sabah FC ini untuk selalu bersedia bermain secara maksimum dalam saat diperlukan,” katanya. – Malaysiapost

