Polisi pendaftaran vaksin mungkin diperketatkan – KJ

0
1

KERAJAAN mungkin akan melaksanakan polisi baru pada Julai ini membabitkan tindakan dalam meningkatkan pendaftaran penerima vaksin Covid-19.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin, berkata langkah itu akan diambil sekiranya jumlah stok vaksin melebihi jumlah rakyat yang mendaftar untuk menerima vaksin.

Beliau yang juga Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) berkata, untuk itu kerajaan akan membuat penilaian semula terhadap jumlah rakyat yang mendaftar bagi menerima vaksin Covid-19 pada Julai ini.

“Saya katakan Julai kerana buat masa ini permintaan adalah melebihi penawaran vaksin yang ada.

“Jadual pembekalan vaksin agak perlahan ketika ini, tetapi jadual penghantaran dijangka akan meningkat mendadak pada Julai.

“Apabila penawaran melebihi permintaan pada Julai dan Ogos bila jutaan vaksin diterima secara bulanan, pada masa itu kita akan pertimbangkan cadangan lain dalam meningkatkan pendaftaran penerima vaksin,” katanya dalam sidang media perkembangan PICK di Putrajaya hari ini ini.

Hadir sama dalam sidang media itu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba.

Khairy menjawab soalan wartawan yang bertanyakan sama ada kerajaan mempunyai perancangan untuk mewajibkan pendaftaran penerima vaksin Covid-19 terutama membabitkan golongan berisiko tinggi.

“Buat masa ini keadaan adalah baik terutama dalam usaha mengalakkan orang ramai mendaftar secara sukarela.

“Namun bila tiba satu tahap nanti kita akan mempertimbangkan polisi mengenai pendafataran penerimaan vaksin itu,” katanya.

Sementara itu, ditanya berkenaan kenyataan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai kebenaran merentas negeri kepada individu yang sudah lengkap dua dos vaksin Covid-19, Dr Adham memaklumkan setakat ini belum ada bukti konkrit yang membolehkan ia dilaksana.

“Kita melihat cadangan Perdana Menteri, adalah bagi memastikan insentif program vaksinasi dengan membenarkan mereka yang lengkap dua dos vaksin Covid-19 untuk merentas negeri.

“Bagaimanapun dapatan daripada Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) masih lagi kita sedang perhalusi dan kita belum terima bukti konkrit untuk membenarkan mereka yang sudah lengkap dua dos vaksin Covid-19 dimana mencapai imuniti komuniti untuk dibenarkan merentas negeri atau negara,” katanya.

Beliau berkata, Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagaimanapun bersetuju mengadakan perbincangan secepat mungkin mengenai perkara itu. – Malaysiapost

Foto Kredit: Khairy Jamaluddin

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here