Kerajaan perlu segera rancang strategi ekonomi baru – Anwar

0
2
anwar ibrahim

KERAJAAN digesa supaya merancang strategi baru dalam meringankan beban rakyat ketika ini yang terkesan dengan keadaan ekonomi negara tidak menentu susulan pandemik Covid-19.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata unjuran positif dibuat Bank Negara Malaysia (BNM) berkaitan tinjauan fiskal tahun mendatang dengan nisbah pendapatan isi rumah kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) pada tahap sangat tinggi, adalah membimbangkan.

Menurutnya, angka terkini adalah sebanyak 93.3 peratus, manakala angka lama sebanyak 87.5 peratus yang ditetapkan pada bulan Jun 2020 yang juga sudah keterlaluan tinggi dan berada di tahap yang cukup memprihatinkan.

“Sebilangan besar hutang ini adalah hutang pinjaman perumahan dan kenderaan, dan ini adalah kesan langsung dari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan kerajaan.

“Hutang kad kredit juga mencanak naik dan berada di tahap yang merungsingkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau yang juga Presiden PKR berkata, rakyat tiada banyak pilihan dalam mendepani masalah ini, dan situasi ini akan mengheret mereka untuk membuat pinjaman baharu, lantas meletakkan golongan itu dalam beban hutang yang berpanjangan.

“IMF (Tabung Kewangan Antarabangsa) menyarankan untuk kita rencanakan dasar dan kebijakan baru bagi menangani masalah kesenjangan kerana kita tahu beban kewangan saat ini memberi dampak yang cukup parah pada warga yang miskin dan tersisih.

“Masalah hutang ini sekiranya tidak ditangani dengan baik, ia akan tambah melambatkan fasa pemulihan ekonomi pada tahun ini. Malah, untuk beberapa tahun akan datang juga sekiranya kerajaan yang ada pada hari ini tidak berbuat apa-apa,” katanya.

Anwar menggesa Perdana Menteri supaya segera mengarahkan pasukan ekonominya untuk merancang strategi baru dalam meringankan beban rakyat saat ini.

“Secara tradisinya, dalam sistem demokrasi kita, pemimpin yang tidak ada keyakinan dan mandat dari rakyat akan segera meletakkan jawatan dari terus memalukan diri sendiri,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here