KERAJAAN Perikatan Nasional (PN) kemungkinan takut dengan pengundi 18 tahun meskipun sebelum ini menyokong kuat perlaksanaannya.
Ketua Puteri Umno, Datuk Zahida Zarikh Khan menyelar kerajaan PN pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang memberi pelbagai alasan tidak masuk akal untuk bersetuju dengan tindakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menangguhkan daftar Pemilih pengundi 18.
“Pada Januari, 2020 kita telah mendapat pengiktirafan daripada United Nations melalui UNDP yang telah bersetuju untuk menanggung sebahagian kos di dalam mengimplitasi Undi 18 ini.
“SPR ketika itu telah memberi timeline untuk menrealisasi Undi 18 ini pada 1 Julai, 2021, dengan mengambil masa selama 2 tahun untuk mereka menyediakan infrastrukturnya bersama JPN.
“Timeline ini disokong oleh menteri-menteri PN, seperti DS Takiyuddin Hassan, Datuk Mohd Radzi Md Jidin, D Liew vui Keong dan ramai lagi menteri-menteri PN ketika itu,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Namun, katanya, situasi itu kini adalah berbeza kerana hampir kesemua menteri-menteri PN telah mengeluarkan kenyataan yang bertentangan.
“Pengerusi SPR pada akhir-akhir ini telah menyatakan disebabkan PKP sekarang ini, Undi 18 tidak dapat dilaksanakan saperti yang telah dijadualkan iaitu 1 Julai, 2021.
“Mengapa? Adakah mereka takut 7.8 juta pengundi-pengundi muda ini tidak memihakkan kepada mereka?,” katanya.
Zahida menambah, penangguhan Undi 18 adalah strategik licik kerajaan PN yang akan melakukan apa sahaja yang boleh memastikan mereka menang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.
Namun, Zahida berkata, perkara itu tidak akan melemahkan Umno untuk bersama-sama anak muda bersiap sedia menghadapi PRU15.
“Seperti dalam ucapan dasar saya pada Perhimpunan Agung Umno tempoh hari menegaskan kita mendokong perubahan yang berlaku bagi meletakkan peranan besar orang muda dalam mencorakkan masa depan negara. Ini termasuk undi 18 dan pendaftaran automatik untuk mereka. Tidak ada pandang belakang atas keputusan yang telah dibuat.
“Sepatutnya tidak ada alasan untuk melengahkan perlaksanaanya. Jika ada yang berkata mereka tidak cukup matang untuk memikul tanggungjawab ini, maka kita tuntut kerajaan segera melaksanakan langkah drastik untuk mematangkan mereka dalam tempoh yang terdekat.
“Hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Kami Umno tetap dengan pendirian menentang mereka berhabis habisan pada PRU15 nanti walaupun dengan ketiadaan pengundi-pengundi muda ini. Saya tetap berjanji akan terus berjuang untuk memastikan hak pengundi muda dalam menentukan siapa kerajaan yang layak mentadbir negara,” katanya.
Pada 2019, Dewan Rakyat telah meluluskan pindaan Perlembagaan Persekutuan yang membolehkan perlaksanaan pengundi 18 tahun dilakukan.
Usul yang dibawa ketika zaman pemerintahan Kerajaan PH itu telah diterima baik pada mulanya oleh Kerajaan PN susulan kenyataan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Takiyuddin Hassan bahawa pendaftaran Pemilih Undi 18 mungkin dilakukan selepas Ogos tahun ini.
Namun perkara itu tidak berlaku apabila SPR mengumumkan penangguhannya terpaksa ditunda sehingga September 2022 kerana menghadapi kekangan kerja akibat PKP. – Malaysiapost

