
KEPERLUAN untuk Gabungan Rakyat Sabah (GRS) didaftarkan sebagai gabungan rasmi seperti Gabungan Parti Sarawak (GPS) penting bagi mengekalkan mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Pengerusi Kelab Penyokong GRS Datuk Seri Salleh Said Keruak, berkata besar kemungkinan GRS perlu menggunakan lambang gabungan itu sendiri pada PRN akan datang berbanding lambang parti masing-masing sebelum ini.
“PRN tahun lalu menyaksikan kemenangan berpihak kepada GRS dan ini adalah mandat dan amanah jutaan rakyat Sabah yang perlu dipertahankan.
“Persoalan yang berbangkit, adakah mungkin selepas ini GRS boleh didaftarkan sebagaimana GPS? Adakah mungkin pada masa hadapan GRS akan menggunakan lambang sendiri untuk mengekalkan mandat pada PRN seterusnya?
“Ini merupakan persoalan menarik, namun segala pilihan bergantung kepada kita semua yang berada dalam satu pasukan untuk sentiasa memenuhi kehendak rakyat,” katanya menerusi catatan di blog, hari ini.
ADUN Usukan itu berkata, kunci kerjasama dalam kalangan parti komponen GRS ketika ini adalah semasa agihan kerusi Parlimen bagi menghadapi pilihan raya umum ke-15 (PRU15).
Katanya, kerjasama dan keberkesanan kerjasama antara parti dalam GRS akan dapat dilihat menerusi proses agihan kerusi PRU15.
“Apa pun, sebagai salah seorang wakil rakyat, saya juga ingin mengingatkan diri sendiri dan sahabat politik yang lain untuk sama-sama berkhidmat tanpa menoleh ke belakang.
“Perkukuhkan khidmat, serta angkat pembangunan setempat, selain penuhi kebajikan rakyat dan semoga politik di Sabah akan terus berkembang dan sihat demi pembangunan negeri di bawah bayu ini,” katanya.
Beliau turut menyatakan sokongan agar kerjasama antara Barisan Nasional (BN), Perikatan Nasional (PN) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) terus kekal kerana politik di Sabah sangat unik serta bersesuaian dengan kepentingan semasa.
“Kita disajikan dengan pelbagai berita mengenai kemelut politik yang berlaku dan terbaru Umno selepas berakhirnya perhimpunan agung telah memutuskan hubungan dengan PPBM.
“Bagaimanapun, senario politik di Sabah berbeza dengan Semenanjung. GRS walaupun masih belum didaftarkan merupakan gabungan bersama yang diiktiraf rakyat sewaktu PRN yang lalu,” katanya. -Malaysiapost
