Abang besar: Hishammuddin langgar adat diplomatik – Anifah

0
1

BEKAS Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman mendakwa Datuk Seri Hishammuddin Hussein melanggar adat diplomatik, susulan istilah ‘abang besar’ yang diberikan kepada rakan sejawatnya dari China, Wang Yi.

Beliau berkata, istilah yang digunakan Hishammuddin bukan sahaja tidak sesuai, tetapi dengan jelas meletakkan Menteri Luar China itu dalam kedudukan sukar dan memalukan.

“Bahasa tubuh Wang Yi menjelaskan segalanya, dan beliau dengan cepat berkata ‘kita bersaudara’.

“Sebagai diplomat tertinggi Malaysia, Hishammuddin harus lebih berhati-hati dan bijak memilih perkataan atau ungkapan. Seperti kata pepatah, diplomasi adalah barisan pertama pertahanan negara,” katanya dalam kenyataan.

Anifah berkata, Hishammuddin perlu mengakui beliau melanggar adat diplomatik, bukannya terus berdebat dan cuba mewajarkan pilihan ungkapan yang salah itu.

“Ia cukup salah untuk melanggar adat diplomatik, namun untuk berdebat dan cuba mewajarkannya jelas menunjukkan keperibadian sebenar individu berkenaan.” katanya.

Semalam, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan kenyataan Hishammuddin yang menggelar China ‘abang besar’ kepada Malaysia sebagai satu penghinaan terhadap pendirian negara ini.

Anwar berkata, meskipun China negara sahabat dan segala usaha perlu dibuat bagi meningkatkan kerjasama perdagangan serta pelaburan dengannya, bahasa sebegitu tidak sepatutnya digunakan dalam diplomasi dan hubungan antarabangsa.

Mengulas isu itu, Hishammuddin menyifatkan ungkapan ‘abang besar’ yang digunakan dalam sidang media bersama rakan sejawatannya dari China, Wang Yi, baru-baru ini adalah sebagai tanda hormat.

Menerusi ciapan di Twitternya semalam, beliau berkata, ungkapan tersebut lebih kepada menghormati Menteri Luar China itu, bukan merujuk kepada hubungan kukuh dua hala Malaysia-China.

Beliau berkata, hubungan kedua-dua negara adalah berdasarkan kepercayaan dan kesaksamaan bersama. – Malaysiapost

Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/04/04/ungkapan-abang-besar-lebih-kepada-menghormati-hishammuddin/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here