Isu ‘abang besar’: Hishammuddin heret Malaysia 25 tahun kebelakang

0
1

KETUA Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Kerajaan Perikatan Nasional (PN) hari ini telah banyak membuat tindakan ‘salah langkah’ membabitkan hal kepentingan negara.

Beliau berkata, keadaan PN yang terumbang ambing hari ini, dibimbangi menjurus kepada keputusan yang hanya untuk menjamin kelangsungan kuasa kerajaan.

“Kita bimbang segala keputusan yang dibuat hanya untuk terus menjamin kelangsungan kuasa, dan ia berpotensi akan mengorbankan kepentingan, keselamatan dan kedaulatan negara.

“Tanpa pengimbangan dari institusi Parlimen dan sikap kebertanggungjawaban pada badan eksekutif, keadaan nampaknya akan terus parah, dan terbaru membawa marabahaya pada kedaulatan negara,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Presiden PKR itu berkata, istilah ‘abang besar’ terhadap China oleh Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, telah memberi kesan besar terhadap negara.

Malah, katanya, istilah ‘abang besar’ itu sekali gus mengheret Malaysia 25 tahun ke belakang dalam soal dasar luar dengan China, selain menjejaskan usaha pegawai Wisma Putra selama ini.

“Pemerintah hari ini secara tidak langsung telah memberi mesej yang jelas pada dunia luar bahawa Malaysia bukan lagi negara yang berkecuali.

“Percubaan Menteri Luar untuk menutup kekeliruan yang timbul menampakkan kabinet PN ini mempunyai pemahaman yang lemah terkait diplomasi, strategi, politik Asean dan juga China,” katanya.

Beliau berkata, dunia menegathui bahawa kerajaan hari ini tidak ada keabsahan demokratik untuk memerintah.

“Negara-negara sekutu mahupun seteru, baik para diplomat atau pun pemuka-pemuka korporat, mungkin sedang mencuba menggunakan kelemahan pemerintah hari ini sebagai kesempatan untuk mendapatkan keuntungan dalam keterlibatan mereka dengan Malaysia.

“Hal ini mampu memberi kesan yang mendalam pada kedudukan diplomatik Malaysia, ekonomi dan kesejahteraan hidup rakyat,” katanya.

Ahli Parlimen Port Dickson itu berkata, Perdana Menteri yang telah hilang majoriti harus segera berundur dan serahkan sepenuhnya pada proses Perlembagaan.

“Sebaliknya, Perdana Menteri hari ini telah menyalahguna Pengisytiharan Darurat, dan dalam masa yang sama terus merencana untuk berpaut pada kuasa,” katanya. – Malaysiapost

Artikel berkiatan:
https://malaysiapost.com.my/2021/04/03/anggap-china-sebagai-big-brother-anwar-tegur-hishammuddin/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here