Sangat bodoh dakwa MIC sertai PN

0
1

‘SANGAT bodoh’ jika membuat kesimpulan MIC telah berpaling tadah terhadap Barisan Nasional (BN) hanya kerana parti itu menjemput Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyampaikan ucap tama pada mesyuarat agungnya, kata Presiden MIC Tan Sri S Vigneswaran.

“Sekiranya langkah menjemput Perdana Menteri berucap pada perhimpunan parti dilihat sebagai beralih kepada PN, maka ia adalah sesuatu yang sangat bodoh.

“Untuk berlaku adil, kita harus menjemputnya. Beliau melantik Timbalan Presiden saya ke jawatan Menteri tanpa cadangan daripada BN. Itu kebenarannya, melainkan ada orang yang mahu mempertikaikannya,” katanya pada sidang media yang dipetik daripada Malaysiakini.

Vigneswaran memberi respons susulan timbul persepsi MIC berubah arah menyokong PN dengan menjemput Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu memberi ucapan pada mesyuarat tahunan parti itu.

“Hati nurani saya lapang. Saya tahu saya tidak menghina mana-mana pihak walaupun MIC diperlekeh dengan pelbagai cara selama ini,” tambahnya.

Katanya, MIC mengakui bergantung pada BN, dengan menambah bahawa sekiranya gabungan itu memerintah, parti tersebut akan menjadi sebahagian daripadanya.

Namun menurut Vigneswaran, MIC kini merupakan parti yang matang dan tidak akan mengikut mana-mana pihak secara membuta-tuli.

“Kita hanya mengikut secara membuta-tuli selama 55 tahun. Kini setelah kita membuka mulut untuk bertanyakan beberapa soalan, kita dilihat tidak setia,” katanya.

Beliau berkata, adalah penting dalam mana-mana hubungan pihak terlibat ‘bersetuju untuk tidak bersetuju’.

“Anda tidak boleh memutuskan hubungan tanpa bertanya.

“Jika Umno boleh bekerjasama dengan Pas, mengapakah ia (Umno) tidak boleh melakukannya dengan PPBM.

“Saya bertanya siapakah yang akan memimpin BN dalam pilihan raya umum akan datang? Rakyat mahu tahu pilihan terbaik.

“Bagi saya, ia (PN) adalah kerajaan semasa. Apakah salah saya? Saya tidak membangkitkan masalah peribadi mana-mana orang,” katanya.

Pada masa sama, Vigneswaran menjelaskan, parti itu akan bekerjasama dengan Bersatu dengan tujuan memperkuat gabungan itu dengan menarik lebih banyak parti.

“Jelaslah kami rapat dengan Umno. Kami bekerja dengan mereka sejak sekian lama. Namun mereka harus memberi sebab yang munasabah apabila meminta kami melakukan sesuatu.

“Saya tidak melakukan perkara tidak rasional. Ia bukan sahaja tidak baik kepada saya, tetapi juga parti. MIC diajar supaya menghormati orang Melayu, Rukun Negara, Islam dan dasar kerajaan,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here