Ismail Sabri bantu peneroka Felda terjejas ribut

0
2

SERAMAI 120 peneroka Felda Bukit Puchong di Bera, Pahang ditimpa musibah ribut pada Selasa lalu, mengakibatkan kediaman rosak selain sebuah sekolah rendah terjejas.

Dalam kejadian kira-kira jam 9 malam itu, hujan lebat melanda kawasan felda terbabit sebelum angin kencang menerbangkan bahagian bumbung rumah penduduk.

Keadaan rumah yang terjejas

Kejadian itu mendapat perhatian Ahli Parlimen Bera, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang meninjau keadaan di lokasi terjejas hari ini dan menghulur bantuan awal.

Beliau yang juga Menteri Kanan (Keselamatan) melawat beberapa rumah mangsa dan Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Bukit Puchong yang terjejas teruk.

Menteri Kanan (Keselamatan) melawat beberapa rumah mangsa dan Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Bukit Puchong yang terjejas teruk.

Menurutnya, kejadian ribut itu difahamkan pertama kali berlaku di kawasan terbabit dan malangnya banyak rumah yang terjejas.

Ismail Sabri berkata, berdasarkan maklumat yang diperoleh, kerosakan dialami peneroka membabitkan kerugian antara RM200 hingga RM4,500 untuk kos baik pulih rumah.

“Sebagai bantuan awal saya beri RM500 bagi setiap mangsa hari ini dan kita juga akan tanggung keseluruhan kos supaya rumah peneroka yang terjejas dapat dibaik pulih dengan segera.

“Ia perlu dilakukan segera kerana khuatir keselamatan penduduk terutama dengan keadaan cuaca ketika ini yang sering hujan boleh mengakibatkan rumah yang terjejas dimasuki air susulan bumbung sudah diterbangkan ribut.

Bumbung rumah musnah akibat ribut di Felda Bukit Puchong

“Saya harap kerja baik pulih dapat disiapkan minggu depan, tambahan pula Ramadan juga sudah tidak lama lagi,” katanya ketika menemui mangsa yang terjejas hari ini.

Menurutnya, pihak Felda dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) juga akan menyalurkan bantuan susulan bencana itu.

Sementara itu, Ketua Kampung Felda Bukit Puchong, Mohamad Azmin Sardi berkata kebanyakan peneroka yang terjejas sudah membuat laporan kepada polis dan JKM untuk membolehkan penilaian kerosakan dibuat sebelum tindakan lanjut diambil.

“Bagi sekolah yang terjejas pula, difahamkan kos pembaikan dianggar RM150,000 susulan hampir keseluruhan bumbung Blok C sekolah berkenaan rosak.

“Difahamkan tindakan lanjut akan dilaksanakan Kementerian Pendidikan (KPM) dan Jabatan Kerja Raya (JKR), manakala murid akan ditempatkan di bangunan lain sementara baik bulih dilakukan,” katanya.

Beliau turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada Ismail Sabri yang prihatin dan menghulurkan bantuan segera bagi membantu meringkan beban peneroka yang terjejas. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here