Berita gembira buat peminat Liga M

0
1

MENTERI Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican memberi khabar gembira buat peminat bola sepak tempatan apabila mengesahkan penonton boleh hadir ke stadium menyaksikan aksi Liga Super dan Liga Premier bermula 6 dan 7 April ini.

Beliau berkata demikian selepas hadir menyaksikan perlawanan projek perintis kemasukan penonton antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Melaka United FC di Stadium Sultan Ibrahim, malam tadi.

Situasi itu turut disokong dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ditunjukkan penonton JDT sepanjang perlawanan.

Ia sekali gus memberi keyakinan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk memberi lampu hijau buat Malaysian Football League (MFL) membenarkan kemasukan penonton.

Reezal Merican berkata apa yang berlaku malam tadi cukup penting kepada penganjuran liga di bawah MFL setelah sekian lama menanti kerana akhirnya peminat kembali ke stadium dengan protokol pengurusan terperinci dan diluluskan MKN.

“Saya memuji pengurusan JDT selaku tuan rumah yang banyak membantu terhadap pematuhan SOP dengan penglibatan 260 petugas merangkumi 30 pegawai sports bubble, 60 marshal, 40 askar Timbalan Setia Negeri dan 130 anggota polis.

“Setakat ini apa yang saya boleh katakan tiada halangan bagi kemasukan penonton untuk perlawanan lain kerana berdasarkan pemerhatian MKN, mereka berpuas hati secara keseluruhan.

“Kelulusan saya sebenarnya sudah dapat tapi sekiranya ada pemerhatian lain oleh pihak MKN, mungkin keputusan lain akan dibuat tetapi buat masa ini,saya boleh katakan tiada masalah,” katanya seperti dilaporkan MFL.

Pada perlawanan itu, penonton dibenarkan masuk ke dalam stadium bermula jam 6 petang sebelum pintu ditutup jam 8.30 malam.

Sebanyak dua zon tempat duduk sahaja dibuka melibatkan B dan C dengan setiap penonton wajib menjaga penjarakan sosial dengan jarak dua kerusi sesama mereka sepanjang perlawanan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here