BN baru tewas sekali sahaja – Zahid

0
1

“KITA harus ingat bahawa kita cuma kalah sekali sahaja dan 13 kali sebelum ini kita telah menang,” kata Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menurutnya, BN harus cepat bangkit dan melupakan sejarah hitam tersebut dengan memperkukuhkan gabungannya meskipun pelbagai badai yang sedang melandanya ketika ini.

“Kita jangan rasa berdukacita, apatah lagi gundah gulana. Dalam PRU15 akan datang kita harus bersedia dan bersiap siaga sebagai sebuah pasukan yang kuat.Dan kita tahu bahawa ada pujukan di luar sana, ada ugutan malah ada ancaman kepada kita.

“Kita sebagai sebuah parti gabungan yang mempunyai track record yang panjang, tentunya dalam ujian kekalahan kita dalam PRU14 yang lalu, kita harus menebus kekalahan itu, caranya kita harus tentukan saf kepimpinan kita, semangat team spirit di kalangan kita.

“Walaupun pelbagai pujukan, ugutan dan ancaman menerjah dari luar dan dalam kita harus kekal utuh, komited dan bersama sama dengan BN,” katanya ketika menyampaikan ucapan secara maya sempena Perhimpunan Agung MIC ke-74, hari ini.

Dalam pada itu BN mahu tempoh Proklamasi Darurat dipendekkan bagi membolehkan demokrasi negara berjalan lebih baik.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, ia bagi membolehkan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) dapat bersidang, dengan Ahli Dewan Rakyat, Ahli Dewan Negara serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

“Kita menuntut darurat yang sudah diproklamasikan dipendekkan. Kita mematuhi titah (Yang di-Pertuan Agong), tetapi atas nama demokrasi, kita harus melihat kesan dan momokan negara luar terhadap sistem demokrasi dan darurat di Malaysia.

“Harus dipendekkan waktunya (darurat) berikutan mangsa Covid-19 sudah menurun dan vaksinasi pun sudah dimulakan,” katanya.

Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran dan timbalannya, Datuk Seri M Saravanan turut menyaksikan ucapan khas itu bersama lebih 1,000 perwakilan MIC yang mengikutinya secara fizikal dan maya di seluruh negara. Hadir sama, Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here