KERAJAAN akan memutuskan sama ada rakyat Malaysia yang sudah menerima vaksin Covid-19 dibenarkan merentas negeri atau ke luar negara dalam Mesyuarat Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat berkenaan yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mimggu depan.
“Saya tidak boleh komen sebab saya tahu semalam pun melalui media. Mungkin (Muhyiddin) sudah bincang dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), saya tidak tahu.
“Jadi, kita akan bincang dalam Mesyuarat Sidang Khas MKN yang dipengerusikan Perdana Menteri nanti,” katanya pada sidang media selepas Majlis Pelancaran Kereta Berperisai Mobiliti Tinggi 4X4 (Tarantula HMAV4X4) Pertama Malaysia di Wisma Perwira Tentera Darat, Kem Perdana Sungai Besi, Kuala Lumpur, hari ini.
Menurutnya, perkara itu belum dibincangkan secara menyeluruh lagi termasuk kelebihan dan insentif kepada yang sudah menerima vaksin Covid-19 ini.
“Mungkin pandangan Perdana Menteri semalam, mungkin kalau boleh dilaksanakan iaitu perjalanan dalam negeri dan luar negara saya rasa ramai lagi yang akan mendaftar untuk menerima vaksin.
“Sekarang ini ramai yang tunggu dan lihat (pendaftaran penerima an vaksin). Kalau ini boleh jadikan insentif seperti itu saya rasa ramai yang akan mendaftar, tapi perkara ini saya percaya Perdana Menteri akan bincangkan perkara ini secara lebih teliti dalam mesyuarat minggu depan,” katanya.
Muhyiddin semalam dilaporkan berkata, rakyat Malaysia yang sudah menerima dua dos vaksin Covid-19 akan dibenarkan merentas negeri, serta dijangka boleh ke luar negara tertentu dengan syarat memiliki sijil pengesahan.
Beliau berkata, kerajaan sudah berbincang dengan beberapa negara bagi membolehkan rakyat negara ini melakukan perjalanan ke negara terbabit.
Menurutnya, sijil akan diberikan bagi membuktikan individu itu sudah menerima dua dos vaksin Covid-19, sekaligus menjadi ‘pasport’ untuk mereka bergerak. – Malaysiapost

