Isu pemilihan Umno: Tajuddin beri amaran pada KJ

0
1
tajuddin

AHLI Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin diberi amaran supaya tidak berterusan membangkitkan isu penangguhan pemilihan Umno.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, berkata gesaan Khairy menuntut pemilihan parti diadakan segera sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) didakwa lebih berbentuk agenda peribadi bagi mendapat jawatan dalam parti.

“KJ (Khairy) ini beria-ia sangat kononnya mahu selesaikan masalah dalaman parti, supaya boleh bersatu padu dan kukuh untuk menghadapi PRU-15. Semasa Umno jatuh, kita kalah pilihan raya, mana dia? Batang hidung pun tak nampak.

“Saya beri amaran, jangan ingat kita bodoh. Kita tahu siapa dia, apa yang dia lakukan dan apa yang dia mahu.

“Kita sebenarnya yang bertungkus-lumus membangkitkan semula Umno dan Barisan Nasional (BN), bentuk Muafakat Nasional (MN),” katanya seperti dilapor Utusan Malaysia.

Tajuddin yang juga Pengarah Pilihan Raya Umno berkata, sekiranya pemilihan parti diteruskan seperti gesaan Khairy yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, ia akan mengganggu fokus jentera parti bagi menghadapi pilihan raya umum.

Katanya, keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno itu adalah hasil daripada perbincangan semua peringkat parti yang diadakan baru-baru ini.

“Apabila PRU, banyak persiapan perlu dibuat. Kita kena bersedia dari segi mental dan fizikal, jadi jika kita cerita tentang pemilihan parti sebelum PRU, kita akan hilang fokus.

“Apa guna kita sibuk-sibuk dengan pemilihan parti, nak pegang jawatan dan sebagainya jika esok lusa bila pilihan raya, semuanya bercempera (berpecah-belah). Jadi dari segi keutamaan sudah salah di situ,” katanya.

Ahli Parlimen Pasir Salak itu berkata, dalam keadaan kerajaan terumbang-ambing, adalah mustahil untuk Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menangguhkan PRU15 sehingga 2023.

Katanya, mahu atau tidak, Muhyiddin perlu menyegerakan pilihan raya agar sebuah kerajaan yang dipilih daripada mandat rakyat dapat dibentuk.

“Saya faham ada orang nak pegang jawatan dalam parti supaya bila pilihan raya nanti dia dapat menguasai keputusan yang memihak kepada dia.

“Tetapi bersabarlah, selesaikan dulu pilihan raya, selepas itu jika nak bertanding, bertandinglah, mahu jadi presiden atau timbalan presiden pun boleh,” katanya.

Sebelum ini, Khairy menerusi akaun Instagramnya berkata, pemilihan parti perlu diadakan untuk menyelesaikan kemelut dalaman Umno.

Menurut Khairy, pemilihan parti tidak boleh lagi ditangguhkan untuk Umno menghadapi PRU15 dengan kepimpinan yang mempunyai mandat yang jelas dan yang boleh mendapat sokongan rakyat. – Malaysiapost

Artikel berkaitan: https://malaysiapost.com.my/2021/04/01/puad-ingatkan-kj-utamakan-konsensus-bukan-jawatan-menteri/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here