PAS terus bersama PN secara rasmi, kata Hadi Awang

0
1

Nurul Huda Abhar

PAS secara rasmi akan meneruskan kerjasama dengan kerajaan Perikatan Nasional (PN) atas dasar penyatuan umat.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, berkata PAS akan bekerjasama dengan semua tetapi mengikut konsep untuk menyatukan umat dan bukan memecah-belahkannya.

“Kita (PAS) akan bekerjasama dengan semua tapi mengikut konsep kita untuk menyatukan umat bukan memecahkan umat.

“Kita nak menyatukan umat. Yang pertamanya mesti tidak ekstrim tidak liberal. Yang ekstrim tu kamu menilai sendiri siapa yang ekstrim,” katanya kepada pemberita hari ini.

Abdul Hadi berkata, PAS juga masih bekerjasama dengan Muafakat Nasional (MN).

“PAS masih bekerjasama dengan Muafakat Nasional (MN). Orang tak bekerja sama biarlah, biar masyarakat tengok siapa yang bekerjasama, siapa yang tidak,” ujarnya.

Mengulas berkenaan kenyataan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang mahu PAS fikir sebaik-baiknya untuk meneruskan kerjasama dengan PN, Abdul Hadi berkata, PAS telah membuat keputusan yang betul.

“Kita sudah buat sebaik-baiknya. Kita sudah berpengalaman dan bekerjasama dengan semua. Kamu bacalah sejarah,” katanya.

Sementara itu, Abdul Hadi juga memberi gambaran bahawa Umno kini tidak bersepakat dan mempunyai pandangan berbeza mengikut bahagian.

Bagaimanapun, katanya, PAS tetap akan bersama pihak yang masih memilih untuk bekerjasama dengan parti itu.

“Sehingga hari ini menteri tidak letak jawatan. Kerajaan kita terus (berjalan). Kita nak atasi masalah Covid-19 itu yang penting dan ekonomi rakyat.

“Kini kita terus dengan PN secara rasminya,” katanya.

Rabu lalu, Bersatu dan PAS menegaskan akan terus mengukuhkan kerjasama dalam PN bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 ( PRU15).

Pengukuhan kerjasama antara kedua-dua parti itu dinyatakan menerusi kenyataan bersama dikeluarkan oleh Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Setiausahan Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan.

Kata kenyataan itu, Bersatu dan PAS selaku parti pengasas utama PN bakal menubuhkan Jawatankuasa Permesyuaratan di peringkat pusat bagi merangka strategi dan halatuju parti pada PRU-15.

Namun, menerusi Persidangan Agung Umno baru-baru ini, parti itu telah mencapai sepakat untuk menarik diri daripada kerjasama dalam kerajaan PN.

Malah, Presiden Umno membuat kenyataan meminta menteri dan timbalan menteri untuk meletak jawatan daripada Kabinet PN.

Bagaimanapun, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan kesepakatan telah dicapai bahawa semua menteri Umno akan terus berada di Kabinet.

Perdana Menteri berkata, keputusan tersebut bagi mengambil kira kepentingan rakyat dan negara. – Malaysiapost

Artikel berkaitan :
https://malaysiapost.com.my/2021/04/01/pas-kelantan-usaha-damaikan-umno-bersatu/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here