Tun Faisal mahu Presiden, MKT Umno teliti surat rayuan

0
1

TIMBALAN Ketua Umno Bahagian Putrajaya, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz merayu kepada Presiden parti dan ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) supaya meneliti dan membaca setiap isi surat rayuan yang dikemukakannya hari ini.

Tun Faisal, berkata malah di dalam surat berkenaan beliau menyertakan hujah-hujah balas dan petikan pembelaan diri semasa sesi tribunal.

Katanya, beliau turut menyediakan salinan surat rayuan kepada setiap ahli MKT selain akan mengirimkannya menerusi aplikasi WhatsApp.

“Saya beri surat ini secara terperinci, jadi saya sangat berharap dan merayu kepada ahli MKT untuk ambil sedikit masa dan baca apa yang saya tuliskan jadi setidak-tidaknya mereka boleh ‘reverse’ balik keputusan mengesahkan Lembaga Disiplin tempoh hari.

“Saya juga percaya gambaran yang salah telah diberikan seolah-olah ini masalah bahagian, jadi mereka tidak perlu ikut campur, itu adalah tidak benar.

“Soal bahagian itu memang tak payah campur tapi soal ‘judgement’ kepada saya perlu dibuat berdasarkan fakta. Sebab itu saya rayu untuk membaca semula hujah-hujah yang saya berikan,” katanya selepas menyerahkan surat rayuan kepada Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Tun Faisal berkata, apa yang penting Umno perlu ambil peluang untuk menunjukkan kepada ahli dan rakyat bahawa parti itu bersikap adil dan terbuka serta demokratik dalam menerima pandangan berbeza daripada ahlinya.

“Cara kita mengendalikan pandangan ahli dan rakyat sudah berbeza, jangan kita mengguna kaedah autokratik atau cara lama kerana ini akan memberi persepsi negatif kepada parti,” katanya.

Menerusi surat rayuan tersebut, Tun Faisal memohon Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta seluruh ahli MKT untuk menarik semula pengesahan terhadap keputusan Lembaga Disiplin parti yang jelas tidak bersandarkan merit dan fakta.

“Tolong batalkan hukuman penggantungan selama enam tahun yang jelas zalim dan tidak masuk akal.

“Selain mengembalikan semula hak keahlian saya termasuk jawatan saya sebagai Ketua Umno Cawangan dan Timbalan Ketua Umno Bahagian yang saya menangi melalui proses demokrasi yang sihat,” katanya.

Terdahulu, MKT Umno membuat keputusan menggantung keahlian Tun Faisal selama enam tahun.

Arahan tersebut berhubung kenyataan terbukanya sebelum ini yang dilihat menentang Presiden Umno. – Malaysiapost

Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/03/28/keahlian-tun-faisal-dalam-umno-digantung-6-tahun/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here