Antara air mata rakyat dan laba politik dalam perjuangan PAS

0
1

Aiman Hanif

RIAK wajah Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020, tampak jelas berbeza berbanding PAU 2019.

Kehadiran Abdul Hadi dan pemimpin PAS yang lain pada PAU Ahad lalu pastinya mencuri perhatian orang ramai, khususnya pemerhati politik.

Mana tidaknya, kehadiran Abdul Hadi dan “panglimanya” ke pentas PAU kali ini ketika hubungan parti itu sedikit dingin di saat Umno mahu menamatkan kerjasama dengan Bersatu.

Di awal kehadiran pemimpin PAS itu pada PAU kali ini, riak wajah Abdul Hadi jelas tidak ceria. Agak payah untuk pemimpin PAS itu menguntumkan senyuman tatkala sahabatnya menyambut dengan penuh penghormatan.

Rakaman gambar jelas menunjukkan Abdul Hadi tidak ceria, bila foto dirakam Abdul Hadi tidak lagi melambai, tangannya diletakkan di belakang dan ketika lagu Umno dinyayikan beliau tidak mengibarkan bendera Umno yang disediakan.

Pemerhatian mata kasar jelas menunjukkan Abdul Hadi bagaikan “terpaksa” dan “tidak ikhlas” untuk hadir ke PAU 2020.

Namun benarkah begitu, hanya Abdul Hadi yang mengetahuinya. Namun keceriannya tetap berbeza berbanding tahun lalu.

Ternyata pertelingkahan antara Umno dan Bersatu memberi kesan kepada PAS. Sehinggakan PAS dilihat tidak lagi menganggap Umno sebagai rakan kongsi utama mereka lagi selepas penubuhan Muafakat Nasional (MN).

Bahkan kenyataan pemimpin PAS tanpa bersembunyi lagi membela kerjasama dengan Bersatu.

Penulis percaya Umno pun mahukan penyatuan ummah, seperti mana tegaskan Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamad Hasan pada perasamian pembukaan perhimpunan sayap Umno.

Kata-kata Mohamad atau pun Tok Mat ada benarnya. Jasa Umno pada penyatuan ummah memang tidak boleh disangkal lagi. Bahkan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin pun menyedarinya.

Namun pada kedudukan Umno kalau hubungan kerjasama dikhianati, apa perlunya untuk mereka meneruskan kerjasama.

PAS tidak berada dalam situasi Umno, Ahli Parlimen PAS tidak “dicuri”, kerusi PAS tidak diganggu gugat. Bahkan PAS kini telah “menghalalkan lompat parti” atas prinsip demokrasi.

Tapi, jelas PAS yang baru menikmati kuasa sebagai kerajaan selepas kali terakhir dengan parti Perikatan, pemimpin parti Islam itu kini dilihat semakin leka dengan “nikmat” yang dikecapi.

Sehinggakan mereka sudah lupa tangisan dan air mata di Dewan Merdeka suatu masa lalu ketika dua parti dominan orang Melayu itu bersatu.

Puluhan ribu berkumpul di PWTC bagi himpunan penyatuan ummah melihat “perseteruan” dua parti politik utama orang Melayu, Islam sejak puluhan tahun ditamatkan dengan termeterainya piagam MN.

Kini, PAS dilihat memilih parti yang mampu memberi laba atau keuntungan pada mereka. Seperti biasa pelbagai dalil diberikan demi menghalalkan matlamatnya.

PAS barangkali lebih selesa menjadi kerajaan berbanding pembangkang puluhan tahun dan PAS mungkin tidak mahu lagi “kemenangan mereka tertangguh”.

Namun, PAS perlu ingat, mereka berjuang dengan membawa agenda Islam, roh Islam. Itu yang mereka laungkan. Namun, tindak tanduk PAS jelas berbeza dengan apa yang Islam ajarkan.

Tindakan PAS memberi kesan dan membuatkan imej “pak lebai” dan Islam juga terkesan.

Namun, apa yang lebih penting lagi jika PAS meninggalkan Umno, ternyata PAS bukanlah parti yang berpegang pada janji kerana sejarah politik PAS tidak pernah kekal dalam “perkahwinan politiknya”.- Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here