Pindaan Ordinan Darurat: Demokrasi negara sedang tergendala

0
1

KETUA Penerangan Umno, Shahril Hamdan berkata pindaan Ordinan Darurat semalam mengingatkan bahawa demokrasi di Malaysia sedang tergendala.

Shahril berkata, pindaan Ordinan Darurat semalam telah memberikan kuasa kepada Kerajaan Persekutuan dan negeri untuk menambah perbelanjaan tanpa melalui Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri.

Beliau berkata, jika dinilai dari sudut kesahihan dan keabsahan pindaan ordinan ini memang tiada pertikaian serta kerajaan mempunyai kuasa tersebut.

“Benda sudah berlaku. Kerajaan ada kuasa tersebut dan jelas mereka tidak segan hendak menggunakannya, tetapi belum ada sebarang penjelasan apa tujuan mereka ‘bypass’ Parlimen dan DUN?,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, meskipun sudah terlepas tanggungjawab prosedur demokrasi berparlimen buat masa sekarang, kerajaan wajar mengambil tanggungjawab moral untuk sekurang-kurangnya memaklumkan perancangan perbelanjaan tambahan.

“Sepatutnya kalau perancangan itu baik, Ahli-ahli Parlimen pun akan luluskan. Tapi sekarang dengan pindaan ordinan, tak perlu takut. ‘Confirm’ boleh belanja.

“Maka, jelaskanlah kepada umum apa perancangan perbelanjaan itu. Barangkali Kerajaan boleh mempertimbang komentar dan kritikan membina ke arah penambahbaikan – sepertimana Belanjawan 2021 tempoh hari. Akhirnya, kuasa masih di Kerajaan – tetapi bukalah sedikit ruang akauntabiliti,” katanya.

Naib Ketua Pemuda Umno itu turut mempersoalkan tujuan pindaan terbabit dilaksanakan.

“Hendak belanja beli laptop untuk PdPR? Menjamin peluang kerja untuk ratusan ribu anak muda, termasuk yang akan tamat pengajian? Belum jelas apa laporan Majlis Pekerjaan Negara yang agak sunyi dalam KPInya mewujudkan 500 ribu pekerjaan.

“Menarik pelabur dari Korea Selatan dan Jepun? Bagaimana mengurus keyakinan pelabur yang semakin merudum untuk melabur dalam negara yang menghentikan fungsi semak imbang wakil rakyatnya?

“Mempercepat pelaksanaan Undi18 dan pendaftaran automatik?,” soalnya.

Semalam, satu undang-undang baharu yang membenarkan Perbendaharaan (Kementerian Kewangan), Menteri Besar atau Ketua Menteri meluluskan apa-apa perbelanjaan tambahan atau pengeluaran daripada Kumpulan Wang Disatukan tanpa melalui Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri sepanjang tempoh darurat berkuat kuasa, diwartakan.

Ini berdasarkan Ordinan Darurat Kuasa-kuasa Perlu (Pindaan) 2021, yang berkuat kuasa pada 31 Mac 2021, melalui Warta Kerajaan Persekutuan yang disiarkan Jabatan Peguam Negara.

Ordinan itu, yang dipinda dengan memasukkan dua seksyen baharu iaitu 10A dan 10B, telah dimasyhurkan oleh Yang di-Pertuan Agong menurut Fasal (2B) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here