Peranti Mind Tune mahu bantu 200 individu bermasalah

0
1

Nurul Huda Abhar

PAKAR motivasi dan aktivis terkenal, Dr Azuraida Shahadan atau lebih dikenali sebagai Dr Azu kini mencari 200 individu yang mempunyai masalah dan ingin mengubah hidup menjadi testimoni awal peranti ciptaannya iaitu Mind Tune.

Menurutnya, peranti tersebut akan diberikan secara percuma untuk mendapatkan maklum balas keberkesanannya selepas 30 hari.

“Kita akan saring daripada permohonan. Kita akan pilih 200 orang untuk dapatkan keputusan selepas 30 hari.

“Tujuannya adalah kita mahu bantu sesiapa yang susah, dan nak buktikan peranti ini mampu untuk membantu mereka yang mempunyai masalah mental dan keluarga,” katanya ketika ditemui di program Sembang Santai Mind Tune di Hotel Seri Pacific, hari ini.

Dr Azu berkata, ciri-ciri individu yang dicari adalah mereka yang hilang semangat untuk teruskan hidup namun mempunyai keinginan untuk mengubah nasib dirinya.

Katanya, dalam peranti itu telah diprogramkan dengan empat jenis terapi iaitu terapi siang; terapi tidur; terapi pagi dan siang; dan terapi setiap masa.

Mengulas lanjut, katanya, bagi terapi setiap masa ianya dimuatkan muzik gelombang otak, alpha, beta dan theta serta denyutan binaural yang mampu mendatangkan ketenangan dan mengurangkan tekanan.

“Untuk programkan semula otak bagi mencapai apa yang kita mahu. Contohnya nak bahagia, jodoh boleh guna terapi pagi dan siang. Guna masa tidur selama 21 hari. Masuk hari ke 22 kita akan rasa sesuatu yang lain.

“Bagi sesiapa yang berminat untuk menjadi antara testimoni awal alat peranti ini boleh mendaftar di laman sesawang www.mindtune.com.my,” ujarnya yang berpengalaman lebih 15 tahun dalam kepimpinan diri, keluarga dan organinasi.

Sementara itu, apa yang lebih menarik apabila ia turut memuatkan suara penyanyi Deja Moss menerusi alunan zikir yang terdapat dalam peranti tersebut.

Kolaborasi Deja Moss bersama Dr Azu menerusi ciptaan peranti itu tercetus semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun lalu.

Menurut Deja, semuanya bermula apabila Dr Azu menenangkannya dan bertanya berkenaan beberapa jenis zikir yang sering diamalkan sebelum ini.

“Dr Azu tanya saya zikir Asma Ul Husna. Mestilah saya ingat. Di situ bermula kolaborasi kami.

“Sama macam diri saya sendiri, selepas gagal dalam perkahwinan pertama saya hidup dalam kesengsaraan dan kebencian. Rupa-rupanya kita kena ubah minda kita supaya kebaikan itu datang,” ujarnya.

Peranti Mind Tune atau lebih dikenali sebagai MIA (Mind Affimation Device) didatangkan khas dengan pek eksklusif berwarna putih, pengecas dan panduan penggunaan.

Bagi memudahkan penggunaan MIA, sebuah buku motivasi popular bertajuk Panduan Unggul Ubah Hidup juga disertakan bagi membimbing pengguna.

Demi memberikan kualiti yang terbaik dalam penghasilan MIA, Dr Azu menggunakan pelantun suara Deja Moss dan dipantau dengan penuh kualiti oleh guru vokal popular, Cikgu Hajar. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here