PM minta menteri Umno kekal dalam Kabinet

0
1

TAN Sri Muhyddin Yassin meminta menteri daripada parti Umno agar terus kekal berada dalam kabinet kerajaan Perikatan Nasional (PN)

Perdana Menteri berkata, keputusan tersebut bagi mengambil kira kepentingan rakyat dan negara.

Menurut beliau, pada masa ini tumpuan utama kerajaan adalah untuk memerangi Covid-19, melaksanakan program imunisasi kebangsaan dan memulihkan ekonomi .

“Beberapa orang menteri dari Umno memegang portfolio-portfolio penting yang berkaitan dengan fokus utama kerajaan pada masa ini.

“Justeru, saya tidak mahu peletakan jawatan mereka dari cabinet menjejaskan segala perancangan kerajaan untuk mengatasi masalah Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara,” katanya dalam kenyataan, sebentar tadi.

Muhyiddin berkata, atas nasihat beliau kesepakatan telah dicapai bahawa semua menteri Umno akan terus berada di Kabinet.

“Dengan kesepakatan ini, saya memberi jaminan Kabinet akan berfungsi seperti biasa dan segala inisiatif kerajaan akan terus dilaksanakan seperti yang dirancang,” ujar beliau.

Terdahulu, pada Persidangan Agung Umno (PAU) 2020, usul menolak kerjasama dengan Bersatu diterima sebulat suara oleh perwakilan Umno.

Malah, PAU juga bersetuju memberi kuasa kepada Presiden Umno, Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) untuk menarik sokongan daripada kerajaan PN pada bila-bila masa.

Bagaimanapun, keputusan itu mendapat tentangan daripada beberapa pemimpin Umno yang bimbang ia akan memakan diri pada PRU15 nanti.
Semalam, Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin Abu Bakar yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi tampil mendesak agar Umno segera mengadakan pemilihan pucuk pimpinan

Dalam satu hantaran di ‘Insta Story’ di Instagram miliknya, bekas Ketua Pemuda Umno itu percaya kemelut dalaman yang melanda Umno dapat diselesaikan dengan mengadakan pemilihan parti sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Hanya satu cara untuk menyelesaikan kemelut dalaman Umno. Segerakan pemilihan parti. Jangan tangguhkan sehingga selepas pilihan raya umum.

“Sepatutnya pemilihan diadakan pada tahun ini. Umno mesti menghadapi PRU dengan kepimpinan yang mempunyai mandat jelas dan boleh mendapat sokongan rakyat,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here