P. Pinang adakan sidang DUN alternatif pertama – Guan Eng

0
1

SETIAUSAHA Agung DAP Lim Guan Eng memaklumkan Pulau Pinang mencipta sejarah dengan mengadakan persidangan alternatif Dewan Undangan Negeri (DUN) yang pertama di negara ini.

Ia selepas Dewan Rakyat tidak dibenarkan bersidang sehingga 1 Ogos depan dalam tumpuan kepada usaha melawan pandemik Covid-19

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, Guan Eng berkata, persidangan tersebut demi menghidupkan semula demokrasi berparlimen dan menegakkan Perlembagaan Persekutuan dan Negeri.

“Malah mesyuarat Dewan Undangan Negeri boleh bersidang secara rasmi bila-bila masa tanpa menunggu Darurat berakhir pada 1 Ogos, sebaik sahaja mendapat kelulusan daripada Majlis Keselamatan Negara tentang keselamatan dan kesihatan awam perihal wabak Covid-19,” katanya dalam hantaran tersebut semalam.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan dan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang memberitahu menerusi persidangan itu semalam ADUN kerajaan dan pembangkang berpeluang membincangkan berkaitan dasar kerajaan dan masalah rakyat.

“ADUN kerajaan dan pembangkang berpeluang bertanyakan Ketua Menteri dan Ahli EXCO tentang dasar kerajaan negeri serta menyuarakan masalah rakyat.

“Pulau Pinang memimpin. Syabas!

“Tidak ada alasan mengapa Parlimen harus ditutup. Buka Semula Parlimen dan kembalikan demokrasi serta kuasa rakyat!,” ujarnya.

Awal Mac lalu, jemaah Menteri bersetuju sidang Parlimen ditangguhkan hingga 1 Ogos depan bagi membolehkan kerajaan memberi tumpuan sepenuhnya kepada usaha melawan Covid-19.

Kenyataan daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan memberitahu keputusan penangguhan itu dibuat berdasarkan alasan perundangan serta analisis data dan sains mengenai kekhuatiran penularan di dalam bangunan Parlimen.

Beliau juga mengulas gesaan kalangan Ahli Parlimen terutama pembangkang yang mahu supaya kerajaan memulakan sidang Parlimen susulan kenyataan Istana Negara sebelum ini bahawa sidang Parlimen tidak digantung.

Menurut Takiyuddin, kenyataan Istana Negara sebelum ini adalah menjelaskan mengenai Seksyen 14(1) Ordinan Darurat bahawa sepanjang tempoh darurat sidang Parlimen ditiadakan, bukannya digantung.

Sebelum itu, Istana Negara dalam kenyataan menyebut Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memperkenan tempoh pelaksanaan darurat hingga 1 Ogos 2021 atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal, jika kes positif Covid-19 dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, berkata Seri Paduka Baginda turut berkenan terhadap cadangan kerajaan bagi pembentukan Jawatankuasa Bebas yang akan dianggotai oleh Ahli Parlimen Kerajaan dan Pembangkang serta pakar-pakar kesihatan dan yang berkait.

Jawatankuasa Bebas ini akan mengesyorkan kepada Seri Paduka Baginda sekiranya pelaksanaan darurat ini dapat ditamatkan lebih awal. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here