“PERANGAI tidak bertamadun”. Mungkin itu ungkapan yang paling tepat untuk menggambarkan jenayah vadalisme yang berlaku di Gua Matsoorat di Ipoh, Perak yang mempunyai tinggalan purba yang berusia jutaan tahun.
Lebih memalukan apabila perangai buruk itu dilakukan oleh kru sebuah syarikat semasa menjalani penggambaran drama TV.
Kecoh di media sosial baru-baru ini apabila seorang pengguna Facebook membuat hantaran mendakwa dinding gua tersebut telah rosak kerana seorang kru syarikat berkenaan telah melukis grafiti pada dinding gua.

Malah, dikatakan sebelum itu fosil gigi mamalia herbivor berusia jutaan tahun di gua itu didapati pecah, lumpur bersepah di serata tempat dan terdapat lilin di dinding.
Rata-rata pengikut media sosial kesal dengan jenayah vandalisme yang terjadi pada peninggalan pra-sejarah itu dan menyifatkan ianya sifat orang tidak bertamadun.
Berikutan itu, Bernama melaporkan Kerajaan Negeri Perak sedang menyiasat insiden tersebut berdasarkan maklumat yang diperolehi mendakwa Gua Matsoorat telah dirosakkan ketika sebuah syarikat produksi drama menjalankan penggambaran.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Negeri Perak Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi berkata pihaknya menerima aduan berhubung kerosakan di tapak bersejarah itu daripada sebuah badan bukan kerajaan (NGO).
“Untuk makluman, Majlis Bandaraya Ipoh telah memberikan kelulusan menjalankan penggambaran kepada Syarikat Juita Viden Sdn Bhd di sekitar Bandaraya Ipoh mulai 20 Feb lalu hingga 30 April ini.
“Hasil semakan, pihak syarikat produksi itu dimaklumkan bahawa mereka hanya boleh menjalankan penggambaran di tapak luar kawasan gua berkenaan,” katanya.
Bagaimanapun katanya terdapat kesan pencerobohan kerosakan pada fosil di dalam gua, namun pihak syarikat menafikan ia dilakukan oleh pihaknya sebagaimana yang didakwa oleh pihak operator.
Sementara itu, Pengarah Michael Ang menerusi laman Instagramnya menyatakan kekesalan akan insiden itu dan memberitahu sedang mengesan individu yang melakukan tindakan tidak bertanggungjawab berkenaan.
Untuk makluman, Gua Matsoorat yang terletak berhampiran Gunung Lang bakal menjadi geotapak ke-19 dalam rangkaian Geopark Lembah Kinta.
Selain fosil, beberapa lukisan prasejarah turut dijumpai pada dinding gua, dipercayai dilukis lebih 5,000 tahun lalu berdasarkan warna dan bahan yang digunakan. – Malaysiapost
Artikel berkaitan:

