Khairy desak pemilihan Umno disegerakan

0
1

BELUM pun reda kehangatan Perhimpunan Agung Umno (PAU) yang berakhir kelmarin, Khairy Jamaluddin Abu Bakar tampil mendesak agar Umno segera mengadakan pemilihan pucuk pimpinan 

Dalam satu hantaran di ‘Insta Story’ di Instagram miliknya hari ini, bekas Ketua Pemuda Umno itu percaya kemelut dalaman yang melanda Umno dapat diselesaikan dengan mengadakan pemilihan parti sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15). 

“Hanya satu cara untuk menyelesaikan kemelut dalaman Umno. Segerakan pemilihan parti. Jangan tangguhkan sehingga selepas pilihan raya umum. 

“Sepatutnya pemilihan diadakan pada tahun ini. Umno mesti menghadapi PRU dengan kepimpinan yang mempunyai mandat jelas dan boleh mendapat sokongan rakyat,” katanya. 

Pada PAU hujung minggu lalu, usul menolak kerjasama dengan Bersatu diterima sebulat suara oleh perwakilan Umno. 

Malah, PAU juga bersetuju memberi kuasa kepada Presiden Umno, Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) untuk menarik sokongan daripada kerajaan PN pada bila-bila masa. 

Bagaimanapun, keputusan itu mendapat tentangan daripada beberapa pemimpin Umno yang bimbang ia akan memakan diri pada PRU15 nanti. 

Sementara itu Khairy yang tewas kepada Ahmad Zahid dalam pemilihan parti 2018, meminta Majlis Kerja Tertinggi melakukan tindakan yang betul demi kelangsungan Umno. 

“Segerakan pemilihan parti. Do the right thing, Majlis Tertinggi. You know we cannot continue like this,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here