Polis Kelantan tolak permohonan majlis kahwin tak ikut SOP

0
1

POLIS Kelantan akan bertindak tegas dengan menolak permohonan penganjuran majlis perkahwinan sekiranya lokasi penganjuran tidak mampu menampung kapasiti jemputan.  

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata pihaknya tidak teragak-agak melakukan demikian sekiranya tempat dicadangkan penganjur tidak sesuai bagi pematuhan prosedur operasi standard (SOP) pencegahan dan pengawalan Covid-19.  

“Kita ingatkan penganjur supaya mengadakan majlis dengan jumlah jemputan yang sesuai (dengan tempat) bagi mengelak permohonan ditolak. 

“Tindakan tegas ini kerana kita mahu semua penganjur mematuhi SOP ditetapkan kerajaan untuk mengekang penularan Covid-19,” katanya seperti dilapor Harian Metro.  

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Ketua Polis Kelantan Bersama Komuniti Balai Polis Nilam Puri sempena sambutan Peringatan Hari Polis ke- 214 di Kota Bharu hari ini. 

Shafien berkata, semua Ketua Polis Daerah (KPD) juga sudah diarah menyediakan borang permohonan yang mempunyai format khas untuk diisi penganjur majlis perkahwinan bagi memudahkan pemantauan. 

“Dalam borang itu penganjur perlu mengisi lokasi majlis dan berapa jumlah jemputan mereka, dengan jumlah jemputan mestilah tidak melebihi had.  

“Ini kerana sebelum ini ada yang tidak menyatakan maklumat itu,” katanya. 

Media sebelum ini melaporkan Pengerusi Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan Kelantan, Dr Izani Husin sebagai berkata, antara punca peningkatan semula kes Covid-19 di Kelantan kerana penganjuran majlis perkahwinan tanpa permit polis. 

Katanya, kebanyakan majlis dianjur tidak mematuhi SOP ditetapkan termasuk jumlah tetamu melebihi had. 

Dalam pada itu, Shafien berkata, anggota polis akan diletakkan di setiap bazar Ramadan bagi memantau dan memastikan peniaga serta pengunjung mengikut SOP mencegah wabak berkenaan. 

“Pasukan pemantau itu untuk memastikan bazar Ramadan berjalan lancar. Seperti solat Jumaat, semua jemaah yang hadir mematuhi SOP yang sangat tinggi termasuk memakai pelitup muka dan membawa sejadah sendiri,” katanya. – Malaysiapost 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here