UMNO sekali lagi mengulangi pendirian parti itu untuk tidak bekerjasama dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Bersatu dan DAP.
Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata keputusan itu adalah muktamad serta menegaskan bahawa tiada sebarang rundingan diadakan dengan pihak berkenaan seperti yang tersebar sebelum ini.
“Ingin saya tegaskan pendirian kita dalam menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU15).
“Kita tetap dengan keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) ‘no PPBM (Bersatu), no Anwar, no DAP’. Tidak ada perbincangan dengan mana-mana parti tersebut sama ada secara rasmi atau tidak rasmi,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar presiden di Perhimpunan Agung Umno 2021, di PWTC, Kuala Lumpur, hari ini.
Ahmad Zahid berkata, Umno tetap akan bertanding menggunakan panji-panji Barsian Nasional (BN).
Beliau berkata, perwakilan Umno perlu yakin dengan kepimpinan parti itu bahawa tidak akan ada sebarang rundingan dengan PKR mahupun DAP.
“Segala rundingan hanya akan berlaku selepas PRU15 apabila Umno menjadi kuasa dominan.
“Tiada sebarang perbincangan sama ada dengan saya, timbalan atau dengan mana-mana pemimpin parti. Yakinlah dengan pendirian kami, Umno akan didahulukan dan pendirian ini jelas,” katanya.
Sebelum ini, Ahmad Zahid menegaskan bahawa Umno tidak akan bekerjasama dengan PKR pada PRU akan datang.
Tegasnya, Umno hanya akan menjalinkan kerjasama dengan rakan komponen BN sahaja dan perkara ini dijelaskan berikutan spekulasi mengaitkan kerjasama parti itu dan PKR.
Pada 16 Mac lalu, Anwar tidak menolak kemungkinan menjalinkan kerjasama dengan Umno, walaupun mengakui perbincangan mengenainya masih belum dilakukan secara formal.
Anwar mendakwa kerjasama itu disokong beberapa pemimpin dan Ahli Parlimen daripada Umno.
Katanya, kerjasama itu akan menjadi kenyataan jika Umno tekad memutuskan hubungan dengan Bersatu. – Malaysiapost
Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/03/09/ph-lantik-jurucakap-bincang-kerjasama-dengan-umno-anwar/

