BEKAS Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Annuar Musa mendakwa kesepakatan yang termetrai dalam Penyatuan Ummah dan perpaduan politik Melayu kini semakin terlerai.
Menerusi hantaran Facebook, Annuar yang seaakan menzahirkan rasa kecewa dengan situasi itu mendakwa ikatan perpaduan tersebut kini telah digantikan suara perpecahan dan ugutan.
“Kira kira 18 bulan lalu, Dewan Merdeka PWTC menjadi saksi kepada himpunan penyatuan ummah dan perpaduan politik Melayu.
“Di Dewan merdeka terpampang ayat ayat Al Quran dari surah pilihan yang memperingatkan pentingnya perpaduan dan jangan bercerai berai,” katanya dalam hantaran itu.
Namun, kata Ahli Parlimen Ketereh itu, hari ini di dewan yang sama keadaan telah jauh berubah.
“Di dewan ini dulu ucapan-ucapan sarat dengan sifat berjiwa besar,saling memaafkan serta pernyataan iltizam berjuang demi agama,bangsa dan tanah air.
“Lagu lagu muafakat di gubah,Piagam di masyhur,MOU di tandatangani. Suasana di sambut rasa lega rakyat di iringi linangan airmata,” katanya.
Beliau berkata, kini suara ugutan mengantung serta memecat keahlian dan mengherdik sesama sendiri semakin menjadi sebati dalam Umno.
“Hari ini, Dewan yang sama menghidangkan suasana berbeza.Tiada lagi suara perpaduan,tiada lagi suara perjuangan bangsa dan agama.
“Ia berganti suara perpecahan,suara menolak semua,suara keyakinan bergerak sendirian,suara mengherdik sesama sendiri. Suara menakut nakutkan dan suara ugutan,penggantungan dan pemecatan,” katanya.
Menteri Wilayah Persekutuan itu berkata, beliau berbangga menjadi sebahagian dari suara Umno yang dahulu dan bukan suara yang baharu.
“Cepatnya masa berlalu. Keruh di Kuala,ramai yg tak tahu adanya hujan di hulu,” katanya. – Malaysiapost

