Zahid: Sokongan Umno pada Muhyiddin asalnya sehingga Jan 2021

0
1

PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan sokongan parti itu terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri dengan syarat Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) diadakan pada tahun 2021.

Bagaimanapun katanya, perkara itu tidak berlaku sebaliknya proklamasi darurat dilaksanakan atas alasan untuk memerangi wabak Covid-19.

“Dengan syarat Parlimen dibubar pada Januari 2021 dan pilihan raya umum (PRU) diadakan pada suku pertama 2021.

“Amat menghairankan PRU yang diharapkan berubah kepada proklamasi darurat dengan alasan Covid-19,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasar Perhimpunan Agung Umno 2020 di PWTC, Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir sama pada majlis itu, Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Dalam pada itu, Umno tetap dengan keputusan untuk menoktahkan kerjasama dengan Bersatu dan tidak akan menyertai gabungan parti Perikatan Nasional (PN).

Katanya Umno ambil ketetapan itu kerana ketidakjujuran rakan sekutunya dalam PN.

“Kita ambil keputusan itu kerana ketidakjujuran dan muslihat mereka terhadap kita.

“Umno tak pernah akan menyertai PN sebagai parti gabungan. Itu keputusan muktamad dan dititik noktahkan,” katanya – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here