Shamsul Anuar sedia lepas jawatan Menteri

0
2

AHLI Majlis Kerja Tinggi (MKT) Umno, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, bersedia meletakkan jawatan sebagai Menteri Tenaga dan Sumber Asli jika Umno membuat keputusan untuk menarik diri daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Shamsul Anuar berkata, beliau akan terus setia dan patuh dengan apa sahaja keputusan dibuat oleh parti termasuk meletak jawatan sebagai Menteri dalam Kabinet kerajaan PN.

“Secara peribadi sudah tentu saya akan akur dengan keputusan Umno jika parti membuat keputusan kerana sebagai pemimpin kita tidak boleh meletakkan kepentingan diri di depan berbanding kepentingan umum.

“Ini penting bagi kita menunjukkan kepada ahli Umno dan rakyat bahawa Umno adalah sebuah parti berpegang kepada prinsip, agenda dan ideologi parti.

“Jadi apa juga keputusan dibuat oleh parti sebagai pemimpin kita kena akur. Bagaimanapun, ketika ini parti belum membuat sebarang keputusan muktamad dan perbahasan usul masih lagi berlangsung sekarang,”katanya di Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2020, hari ini.

Dalam pada itu, Shamsul Annuar berkata, penyokong dan pemimpin Umno perlu berhenti memberi gelaran atau melabelkan orang lain.

Katanya, tindakan melabel orang lain dengan gelaran tertentu termasuk kluster Mahkamah atau Kluster Menteri hanya akan melemahkan perpaduan dalam parti.

Sebaliknya, beliau menegaskan yang perlu adalah pemimpin dan ahli Umno yang sentiasa setia dengan perjuang parti iaitu demi agama Islam, bangsa Melayu dan kepentingan Bumiputera serta kaum lain.

“Sebab itulah saya minta semua ahli dan pemimpin Umno supaya menghentikan memberikan gelaran dan melabelkan orang lain dengan label tertentu yang boleh melemahkan perpaduan dan kesatuan dalam parti.

“Kita mahu ke hadapan dan menunjukkan bahawa kita sentiasa berjuang demi kepentingan rakyat. Justeru, kita perlulah menamatkan cakap-cakap yang boleh merosakkan parti.

“Rakyat sedang melihat Umno dan mahu parti ini kembali bangkit memerintah negara ini, pada masa depan,” katanya. – Malaysiapost

Artikel berkaitan :
https://malaysiapost.com.my/2021/01/25/tiada-makna-terbuka-jika-hanya-rosakkan-parti-dr-shamsul-anuar/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here