Parti Melayu jangan beretorik – Hishammuddin

0
1

Najamuddin Mohd Nor

MASIH ada masa untuk semua parti Melayu Islam berbincang dan memikirkan hala tuju bersama demi penyatuan, perpaduan dan kestabilan politik.

Perkara itu diluahkan bekas Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang meminta semua pihak tidak beretorik jika mahu parti Melayu bersatu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

“Pendirian kita penting hari ini kerana sekiranya dengar apa yang Perdana Menteri (Muhyiddin Yassin) sebut semalam, Bersatu akan bertanding di semua kerusi, Umno bertanding semua, PAS bertanding semua kerusi. Apa yang akan jadi dalam apa saya nyatakan kesatuan, perpaduan, kestabilan menjelang pilihan raya akan datang?

“Yang penting sekarang, kita semua mesti jangan hanya cakap retorik. Kalau betul-betul pegang pada kestabilan, masa depan dan hala tuju, saya rasa ada masa untuk kita duduk memikirkannya,” katanya kepada media pada Perhimpunan Agung Umno, hari ini.

Diminta mengulas ucapan dasar Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Hishammuddin berkata, tiada perkara baru yang dibangkitkan Zahid dalam ucapan dasarnya pagi tadi.

“Dalam ucapan dasarnya hanya menekankan apa yang telah kita nyatakan sebelum ini melalui Majlis Kerja Tertinggi Umno,” katanya.

Terdahulu, Umno menoktahkan hubungannya dengan Bersatu menerusi ucapan dasar Presiden Umno, bahawa parti itu tidak akan bekerjasama dengan Bersatu, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahupun DAP pada PRU15.

Ahmad Zahid berkata, tidak ada perbincangan dengan mana-mana parti tersebut, sama ada secara rasmi atau tidak rasmi.

“BN telah memutuskan akan menghadapi PRU15 secara bersendirian,” katanya.-Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here