
MENTERI Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin hari ini menyeru orang ramai terutamanya antivaksin yang masih meragui vaksin Covid-19 supaya segera mendaftar bagi mendapatkan suntikan berkenaan.
Menerusi aplikasi TikTok iaitu khairykj, yang turut dimuat naik di laman Twitternya, Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan itu memaklumkan bahawa vaksin yang dibekalkan adalah selamat dan efektif.
Katanya, suntikan vaksin adalah penyelesaian kepada wabak Covid-19 yang kini sedang melanda dunia.
“Untuk makluman antivaksin, bahawa lebih 468 juta dos sudah diberikan pada peringkat global dan ia sudah dibuktikan selamat serta efektif.
“Ambil vaksin, ini adalah satu-satunya cara untuk keluar daripada pandemik ini,” katanya.
Khairy sebelum ini juga mengeluarkan beberapa kenyataan menafikan dakwaan antaranya berkaitan teori konspirasi dajal dan One World yang sering dikaitkan pihak tertentu.
Disebabkan timbulnya pelbagai berita palsu, beliau sendiri buktikan bahawa suntikan vaksin Sinovac hanya untuk mencegah Covid-19, bukan perkara mendatangkan kemudaratan, dengan menjadi penerima pertama pada minggu lalu. – Malaysiapost
