Kalau ‘anak jantan’ letak jawatan sebagai menteri – Zahid

0
1

PRESIDEN Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mencabar menteri yang didakwanya menikam parti itu dari belakang supaya meletak jawatan jika benar-benar ‘anak jantan’.

Bagaimanapun, beliau tidak menamakan menteri berkenaan, namun menggelarkannya sebagai makhluk perosak yang telah melupakan jasa Umno terhadapnya.

“Jika ada di kalangan mereka yang terlalu seronok duduk dalam bilik yang terlalu berhawa dingin dan kerusi empuk, lihat dan harus tahu bahawa mereka yang ada di sana termasuk seorang Menteri, tapi tak ada di pentas ni, tapi menikam Umno dari belakang.

“Kalau dia anak jantan dia harus letak jawatan sebagai menteri. Ini mahkluk perosak.

“Kalau bukan kerana Umno tak mungkin dia ada dalam kementerian berkenaan,” katanya ketika menyampaikan ucapan penangguhan Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2020, petang tadi.

Sebagai makluman, Presiden Umno kini mempunyai krisis dengan Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa.

Pergeseran tersebut mula dihidu apabila Ahmad Zahid memecat Annuar daripada jawatan Setiausaha Agung Barisan Nasional.

Susulan pemecatan tersebut, Annuar tampil mendedahkan bahawa Presiden Umno ada mengutus surat kepada Yang di-Pertuan Agong menyatakan sokongan kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menjadi Perdana Menteri.

Bagaimanapun, Umno menafikan dakwaan tersebut dan menyifatkan ianya satu tuduhan jahat.

Annuar hari ini dalam satu temubual di Facebooknya menegaskan beliau mengetahui mengenai kewujudan surat sokongan Presiden Umno itu dan ia tidak perlu menafikannya.

Sementara itu, Ahmad Zahid secara sinis berkata, menteri berkenaan ‘sedang geli secara maksimum’ dengan jawatan yang disandangnya kini.

“Bila ‘ghanimah’ dan jawatan yang jadi kegelian maksimum, mereka harus sedar tanpa kita perwakilan dan akar umbi, kita takkan rasa kedudukan sebagai menteri semula.

“Saya yakin rakan yang jadi menteri yang ada di atas pentas atau di bawah atau tak jadi perwakilan, saya amat yakin sesungguhnya mereka ahli parti, pendokong parti, orang yang setia pada parti,” ujarnya. – Malaysiapost

Artikel berkaitan :

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here