KEMENTERIAN Pendidikan mahu pihak sekolah terus memperketat prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang penularan Covid-19 di kalangan warganya.
Menteri Kanan (Pendidikan), Datuk Dr Radzi Jidin, berkata pada masa sama ibu bapa perlu mengingatkan anak-anak supaya menitik berat SOP sepanjang berada di sekolah.
Beliau berkata, pihaknya akan merujuk Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) untuk mendapatkan sebarang pandangan dan langkah yang perlu diambil jika wujud sebarang masalah berkaitan Covid-19.
“Dalam konteks Covid-19, seperti saya jelaskan sekiranya berlaku apa-apa, kita merujuk kepada Pusat Kesihatan Daerah kerana pihak berkenaan lebih pakar.
“Apa saja pandangan, KPM akan mematuhi nasihat berkenaan demi keselamatan anak-anak.
“Apa yang penting, ibu bapa harus mengingatkan anak-anak mematuhi SOP. Kami juga memberi penekanan pematuhan ini kepada seluruh warga sekolah termasuk guru,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Radzi berkata, pihaknya mengakui sekarang waktu sukar untuk warga KPM namun pihaknya berjaya menghadapinya dengan baik.
“Ini satu masa yang sukar, namun Alhamdulillah kita melihat bagaimana peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) berjalan lancar apabila SOP dipatuhi dengan baik.
“Pada masa sama, kita dapat meneruskan sesi persekolahan dalam keadaan selamat,” katanya. – Malaysiapost
Artikel berkaitan:
https://malaysiapost.com.my/2021/03/24/guru-murid-positif-covid-19-sekolah-di-ketereh-ditutup/

