Asyraf Wajdi jangan ‘poyo’ sangat – Pemuda PAS

0
2

HUBUNGAN Umno dan PAS dilihat semakin berantakan apabila sayap Pemuda kedua-dua parti itu dilihat saling berbalas serangan berhubung isu Gagasan Penyatuan Ummah.

Terbaharu, Pemuda PAS Selangor membidas kenyataan Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki dalam Perhimpunan Agung Umno semalam, yang disifatkan terlalu angkuh.

Timbalan Ketua Pemuda PAS Selangor, Mohamed Sukri Omar berkata, pengkhianatan terhadap persepakatan antara Umno dan PAS bermula dengan sokongan parti itu terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, adalah sangat tidak sesuai apabila Asyraf mengaitkan kisah Khawarij dan Saidina Ali bagi menolak Gagasan Penyatuan Ummah untuk menyatukan Umno, PAS dan Bersatu.

“Jangan poyo sangat rasa diri macam Saidina Ali bossku. Suka saya ingatkan pengkhianatan persepakatan ini bermula dengan sokongan pada Anwar Ibrahim sebagai PM. Itukah nilai setiakawan? Jujur dan ikhlas? Demi survival ummah?,” katanya dalam hantaran dikongsi di Facebook Dewan Pemuda PAS.

Mohamed Sukri berkata, Pemuda PAS tidak akan bersikap sebagai ‘Pak Turut’ sehingga menggadai prinsip perjuangan parti itu.

“Pemuda adalah perubah yang menjadi teras kebangkitan. Jika mahu menjadi pak turut elok lucutkan jenama ‘Pemuda’ pada diri anda.

“Usah panjangkan kalam lucu dan bicara palsu. Jika anda membuka gelanggang dihadapan Ketua Pemuda kami, insyaAllah kami Pemuda bersedia menyambut,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamed Sukri turut memberi amaran kepada Asyraf supaya tidak mengeluarkan kenyataan yang ‘mencederakan’ Ketua Pemuda PAS, Khairil Nizam Khiruddin kerana sayap parti itu tidak akan berdiam diri.

“Bukan anak jantan jika bercakap seorang diri, tak ubah bagai orang gila yang merasa jaguh sedangkan bersilat langkahnya sumbang.

“Amaran kami usah biadab dengan tetamu esok, jika ayahanda kami dicederai. Kami bersedia menghadapi kalian, serta sekali-kali tidak akan berdiam diri!,” katanya.

Semalam, Asyraf mendesak PAS menyatakan pendirian sama ada mahu memperkasa Muafakat Nasional (MN) bersama Umno atau terus bersama Bersatu.

Asyraf dilapor berkata, persoalan itu penting kerana Umno perlu mengetahui siapa musuh yang perlu dihadapi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kelak.

“Kita (Umno) dengan MN sehingga saat ini akan terus mempertahan dan memperkasakan MN, namun sudah tentu kita harus bertanya kepada PAS.

“Apakah pendirian (PAS) lebih-lebih lagi ketika Presiden Bersatu (Tan Sri Muhyiddin Yassin) mengeluarkan kenyataan bahawa mereka sedia bertanding di semua kerusi Umno,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here