POSTER memaparkan gambar Ketua Umno Ketereh, Tan Sri Annuar Musa dengan tulisan ‘Annuar Musa pengkhianat Umno’ didakwa diedarkan pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) yang sedang berlangsung.
Turut ditulis pada poster berkenaan, ‘ANNUAR MUSA Rasuah Kepada Perwakilan Untuk Sokong Usul Umno Menjadi Kuda Tunggangan PPBM’.
Menerusi satu hantaran di Facebooknya, bekas Setiausaha Agung Umno dan Barisan Nasional (BN) itu berkata beliau mendapat tahu mengenai perkara tersebut pagi ini.
“Pagi ini dikejutkan berita beredarnya poster seperti dalam gambar… entah kerja siapa, naratif rekaan siapa. Pasti ini sesuatu yang diizinkan.
“Usul menjadikan Umno tunggangan PPBM (Bersatu)? Siapa nak bawa usul? Bawah agenda mana? Perwakilan mana yang disuruh menyokong? Insaflah kita.
“Budaya memfitnah ini nampaknya sudah jadi perkara biasa,” katanya menerusi hantaran itu.
Difahamkan, semalam tidak hadir Perhimpunan Agung Umno yang melibatkan perbahasan bagi pergerakan Pemuda, Puteri dan Wanita. – Malaysiapost


