Undi18: Jangan menidakkan kuasa Parlimen – Najib

0
1

Najamuddin Mohd Nor

SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) tidak boleh menidakkan kuasa mutlak Parlimen yang telah meluluskan perlaksanaan pengundi 18 tahun.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata keputusan membenarkan pengundi 18 tahun mengundi wajar dihormati semua pihak kerana ia telah diputuskan oleh Parlimen.

Malah, katanya, semua parti mempersetujui usul pindaan Perlembagaan Kebangsaan demi membolehkan pengundi 18 tahun menunaikan tanggungjawab untuk mengundi pada pilihanraya nanti.

“Kita kena hormati keputusan Parlimen sebab keputusan Parlimen dibuat berdasarkan pada persetujuan semua parti, masa tu PH (Pakatan Harapan) berkuasa, BN (Barisan Nasional) pun bersetuju masa tu.

“Jadi bila kita bersetuju atas sebulat suara maknanya kuasa mutlaknya ialah Parlimen dan tidak boleh menidakkan kuasa Parlimen,” katanya ketika ditemui di PWTC, hari ini.

Kelmarin, SPR memutuskan menunda perlaksanaan Pemilih pengundi 18 tahun pada September tahun hadapan atas alasan wujud kekangan pergerakan susulan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang sedang berlangsung.

Najib berkata, rata rata orang muda mengharapkan dan menyokong peluang untuk mengundi, dan sudah tentu mereka berasa amat kecewa.

Penangguhan ini telah mencetuskan polemik politik yang menyifatkan kerajaan tidak menepati janji.

Sebelum ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Takiyuddin Hassan pernah mengeluarkan kenyataan bahawa kerajaan akan melaksanakan Pemilih pengundi 18 tahun pada Ogos tahun ini. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here