Ebit Lew teruja lawat madrasah OKU buta di Afrika Selatan

0
1

Nurul Huda Abhar

PENCERAMAH bebas, Ebit Lew berkesempatan melawat sebuah madrasah bagi golongan orang kelainan upaya (OKU) buta ketika dalam misi bantuan kemanusiaan di Afrika Selatan.

Menerusi perkongsian di laman Facebooknya, Ebit memberitahu bahawa golongan OKU buta di madrasah tersebut sangat hebat dalam menghafal hadis.

“Lima madrasah saya ziarah. Ada satu madrasah orang buta. Hebat mereka hafal hadis.

“Boleh baca dan translate (terjemah) hadis dari Arab ke English. Dengan gerakkan tangan. Orang buta dididik menjadi alim besar. Madrasah buta ini semenjak 1985,” kata beliau dalam hantaran itu hari ini.

Terdahulu, Ebit bersama kumpulannya berangkat ke Afrika Selatan pada 21 Mac lalu bagi menyertai misi kemanusiaan dan kasih sayang.

Malah, beliau turut menyumbangkan 16 buah rumah untuk keluarga masyarakat Zulu di kawasan tersebut yang kehilangan tempat berteduh akibat rumah mereka terbakar, baru-baru ini.

Sementara itu, Ebit juga memaklumkan sangat terharu dapat menziarahi pelajar Malaysia di Darul Ulum di Durban South Afrika.

Selain itu, pendakwah dan juga usahawan tersebut turut melawat beberapa lagi madrasah lain dalam misi kemanusiaannya itu.

“Terharu ziarah pelajar Malaysia di Darul Ulum di Durban South Afrika dan beberapa madrasah lain disini. Mereka fasih English, Urdu dan Arab.

“Ada pelajar tiga tahun tak balik Malaysia. Ada lima tahun. Belajar tujuh ke lapan tahun. Allahukbar.

“Disini madrasah cantik dan unik. Macam universiti. Pakai bata tersusun cantik bersih betul. Semua orang kaya yang infak dan beri duit zakat mereka. Tanah luas betul,” ujarnya lagi.

Menurut Ebit, rata-rata pelajar di madrasah tersebut datang daripada keluarga yang kurang berkemampuan tetapi pengajian mereka dibiaya penuh oleh golongan dermawan.

“Ramai yang susah tapi datang sini dapat full sponsor (biaya penuh). Tak perlu bayar apa-apa. Semoga menjadi asbab kebaikan. Berkongsi sedikit nasihat dan doa bersama mereka,” katanya, – Malaysiapost

Artikel berkaitan :

https://malaysiapost.com.my/2021/03/26/ebit-lew-bina-rumah-untuk-masyarakat-zulu-di-afrika-selatan/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here