Undi18: Kerajaan PN tak gentar hadapi pengundi muda – Muhyiddin

0
1

PERDANA Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyifatkan penangguhan undi 18 tahun seperti yang diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) baru-baru ini tidak seharusnya dijadikan isu politik.

Beliau berkata, Kerajaan Perikatan Nasional (PN) menghormati keputusan dibuat SPR sebagai sebuah badan bebas serta menyifatkan penangguhanya bukan disebabkan pihaknya berasa ‘takut’ menghadapi perkara itu.

Malah katanya, pihaknya mendesak agar Undi18 dilaksana menjelang September, namun badan itu tidak dapat berbuat demikian.

“Kita berbincang mengenai isu ini, saya kata tak boleh ke September tahun ini, dia (Pengerusi SPR) kata tak boleh. Habis nak paksa macam mana.

“Kita perlu realistik dan tak perlu dipolitikkan kerana ia melibatkan perkara besar termasuk kerjasama dengan Jabatan Pendaftaran Negara kerana membabitkan jutaan pengundi,” katanya seperti dilapor Utusan Malaysia.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan fasa pertama Zon Ekonomi Khas Pagoh di Galeri Jualan Sime Darby, di Pagoh hari ini.

Muhyiddin turut menegaskan Kerajaan PN pimpinannya tidak gentar menghadapi pengundi muda, sekiranya Undi18 dilaksanakan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Ada kata kerajaan PN takut, kami tidak takut, malah sebahagian besar anak muda saya yakin menyokong kerajaan.

“Jadi mengapa kita terlalu emosi dalam hal ini, lagi cepat lagi bagus (Undi18 dilaksanakan) tapi nak buat macam mana,” ujarnya.

Presiden Bersatu itu menjelaskan pelaksanaan Undi18 adalah tanggungjawab SPR sepenuhnya dan bukan bawah bidang kuasa kerajaan.

“Urusan ini bukan urusan kerajaan, ia urusan suruhanjaya dan ini terserah kepada kebijaksanaan, kecekapan dan juga pengurusan sama ada ianya boleh dilaksanakan, jadi kita harap dapat dipercepatkan.

“SPR kata isu ini merupakan isu teknikal jadi biarlah mereka yang menguruskannya dengan sebaik mungkin,” katanya. – Malaysiapost

Artikel berkaitan:

https://malaysiapost.com.my/2021/03/27/undi18-jangan-menidakkan-kuasa-parlimen-najib/

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here