Apa masalah Nazir tiba-tiba kutuk abang sendiri? – Isham

0
2

KETUA Penerangan Barisan Nasional (BN) Selangor, Isham Jalil mempersoalkan tujuan Datuk Seri Mohamed Nazir Razak menggelarkan model ekonomi baharu yang diperkenalkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang juga abangnya sebagai ‘hanya mampu mengumpul habuk di atas rak’.

Menurutnya, beliau tidak mengetahui apakah tujuan bekas Pengerusi CIMB Bank Bhd (CIMB) itu mengecam abang kandungnya sendiri.

“Tadi adik Bossku (Najib) iaitu bekas Pengerusi bank CIMB Datuk Seri Nazir Razak berkata model ekonomi baru abangnya Datuk Seri Najib kononnya “hanya mampu mengumpul habuk di atas rak”.

“Saya tidak tahu apa maksud Nazir ini atau apa masalah dia dan kenapa dia tiba-tiba mengutuk abangnya sendiri.

“Saya lihat Datuk Seri Najib telah banyak menyumbang kepada ekonomi negara sehingga ramai orang rindu zaman Najib kini, berbanding Nazir yang kaya-raya tapi sumbangan kepada rakyat mungkin bukan sahaja habuk di atas rak tetapi habuk pun takdak.

“Nak kutuk tu agak-agaklah,” katanya dalam hantaran di laman Facebook, hari ini.

Terdahulu, Astro Awani melaporkan Pengerusi dan Pengasas Bersama Ikhlas Capital itu dalam satu kenyataan berkata Malaysia memerlukan satu lagi platform musyawarah seperti Majlis Perundingan Negara bagi membincangkan dan menyokong penetapan semula sistem pasca 1969.

Katanya, langkah itu penting selepas melihat skala masalah dihadapi negara hari ini dan kegagalan berterusan satu demi satu kerajaan dari pelbagai parti dalam membuat pembaharuan sistem.

Menurut Mohamed Nazir, projek membina Malaysia yang lebih baik adalah dengan memastikan tidak berlaku politik identiti, politik wang dan penumpuan kuasa.

“Campur tangan luas kerajaan di dalam ekonomi di atas nama Dasar Ekonomi Baru ditambah pula dengan persaingan politik intra-Melayu yang semakin sengit pada pertengahan tahun 1980-an menimbulkan apa yang dipanggil ‘raksasa berkepala tiga’, politik identiti, politik wang, dan penumpuan kuasa. Raksasa tersebut memusnahkan idea yang paling inovatif serta inisiatif pembaharuan yang tulen.

“Contohnya, Koridor Raya Multimedia , sebuah fikiran Tun Dr Mahathir Mohamad yang sangat berpandangan jauh, namun gagal melepasi projek hartanah. Selain itu, model Ekonomi Baru diperkenalkan Datuk Seri Najib pula hanya mampu mengumpul habuk di atas rak,” katanya semasa Ucaptama Sidang Kemuncak Bangsa Malaysia secara maya hari ini. – Malaysiapost

Artikel berkaitan :

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here