UMNO memutuskan untuk bertanding 120 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-15 jPRU15) akan datang.
Ia sekali gus mencetuskan spekulasi bahawa parti itu akan menghadapi pilihan raya tanpa Pas.
Pengarah Pilihan Raya Umno, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman menyeru ahli sayap parti itu supaya yakin dengan kemampuan Umno untuk membentuk kerajaan sekali lagi selepas pilihan raya.
“Parti sudah memutuskan bahawa kita akan bertanding tidak kurang 120 kerusi Parlimen. Parti mana yang akan bertanding lebih daripada itu? Bahkan PPBM (Bersatu) tak akan bertanding lebih 50 atau 60 kerusi. Pas juga tak akan bertanding melebihi 50 atau 60 kerusi.
“Dengan kata mudah, selepas pilihan raya umum akan datang, percayalah tidak akan ada satu parti pun yang akan menang lebih kerusi berbanding Umno,” seperti dilaporkan FMT.
Beliau membuat kenyataan itu semasa sesi penggulungan perbahasan Puteri Umno di Perhimpunan Agung Umno (PAU) hari ini.
Terdahulu, Tajuddin dilaporkan berkata, Umno akan bertanding 120 kerusi Parlimen jika bersendirian menghadapi PRU15.
Katanya, jika kerjasama dengan Pas diteruskan, Umno hanya menyasarkan untuk bertanding di 96 kerusi Parlimen.
Sementara itu, beliau berkata, terpulang kepada Pas untuk memilih bekerjasama dengan Umno atau Bersatu, bagaimanapun beliau berharap Pas akan melihat semula piagam Muafakat Nasional (MN) yang dimeterainya dan janji yang dibuatnya.
“Kita setuju dalam MN, kita dah tandatangan piagam bahawa kita akan bersama sehingga PRU akan datang. Kami harap Pas tak mungkiri dan berpegang pada janjinya.
“Umno sudah memberikan jaminan bahawa kami tidak akan mungkiri janji. Kami tetap mahu bersama-sama dengan Pas pada PRU akan datang.”
Tajuddin menyeru ahli Puteri Umno supaya yakin dengan kemampuan parti untuk membentuk kerajaan sekali lagi selepas pilihan raya.
Beliau berkata, sudah tiba masanya untuk sekurang-kurangnya satu kerusi DUN di setiap Parlimen diberikan kepada calon Puteri atau Wanita Umno.
Katanya, di kawasannya di Pasir Salak, beliau sudah meletakkan dua kerusi DUN untuk ditandingi calon wanita. – Malaysiapost
Artikel berkaitan :

