Sokongan PEJUANG penentu parti mana jadi kerajaan – Mahathir

0
1

Nurul Huda Abhar

TAN Sri Muhyiddin Yassin berharap tidak ada parti lawan yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), kata bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menurut beliau, dengan harapan tersebut Perikatan Nasional (PN) akan menang tanpa bertanding.

Menerusi kenyataan di Facebooknya, Dr Mahathir yang juga Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) berkata, bagi merealisasikan hal berkenaan Muhyiddin boleh menentukan supaya parti musuh tidak akan didaftar.

“Ia bermula dengan PEJUANG. Jika PEJUANG tidak didaftar maka parti ini tidak akan dapat bertanding sebagai parti PEJUANG. Mungkin calon PEJUANG terpaksa bertanding sebagai calon bebas. Jika ini dilakukan maka calon-calon bebas ini tidak dapat mengguna simbol dan bendera PEJUANG. Ini akan kelirukan pengundi.

“Mungkin PEJUANG bertanding dengan nama parti lain seperti Bersatu dalam PRU 14 terpaksa guna simbol dan bendera Parti Keadilan Rakyat (PKR). Ini juga boleh kelirukan pengundi.

“Jika dicuba PKR mungkin tidak setuju memberi banyak kawasan kepada PEJUANG. Sokongan juga mungkin tidak diberi. Maka akan kalahlah PEJUANG,” katanya dalam kenyataan itu, hari ini.

Dr Mahathir berkata, pada PRU14 lalu Datuk Seri Najib Razak membatalkan pendaftaran Bersatu dan tidak mendaftar Pakatan Harapan (PH).

Maka, katanya, parti-parti pembangkang terpaksa bertanding atas nama PKR  mengunakan simbol dan bendera parti tersebut. 

Jelasnya lagi, namun begitu, percubaan Najib dapat ditangani oleh parti-parti lawan dengan bertanding sebagai parti PKR dan masih dapat sokongan yang cukup untuk menewas Barisan Nasional (BN).

Beliau yang juga Ahli Parlimen Langkawi berkata Muhyiddin mungkin cuba mengadakan PRU lebih awal semasa PEJUANG dan parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) tidak didaftar.

“PEJUANG pula tidak ikat diri dengan mana-mana parti. PEJUANG berharap akan menjadi kuasa ketiga. Harapan Muhyiddin ialah dia tidak dihadapi oleh musuh.

“Tetapi Bersatu yang sekarang sudah jadi parti berbilang kaum tidak mungkin menang banyak. Dengan itu parti PN dan BN serta Muafakat akan pilih orang lain sebagai Perdana Menteri. 

“Umno dan PAS memberi jawatan Perdana Menteri kepada Muhyiddin dahulu kerana mereka hanya boleh jadi gabungan majoriti jika Bersatu keluar dari PH dan menyertai Muafakat,” katanya lagi.

Sementara itu, beliau berkata yang mempunyai bilangan majoriti ketika itu adalah Datuk Seri Azmin Ali dan paksinya dari PKR dan secara tidak lansung diberikan jawatan tertinggi tetapi bukan Timbalan Perdana Menteri.

Namun begitu, ujarnya keadaan politik selepas PRU 15 tidak mungkin berbeza dari sekarang namun Muhyiddin tidak akan menjadi Perdana Menteri.

“PEJUANG tidak mungkin jadi Kerajaan. Tetapi sokongan Pejuang akan tentukan gabungan mana yang akan jadi Kerajaan. Sokongan PEJUANG hanya jika syarat PEJUANG diterima,” ujarnya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here