Pendaftaran Pemilih Automatik dan Undi 18 boleh dilaksana September 2022 – SPR

0
1

PENDAFTARAN Pemilih Automatik dan Undi 18 dijangka boleh dilaksanakan selepas 1 Sept 2022, selepas penilaian semula pelbagai isu dijalankan. 

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Abdul Ghani Salleh, berkata komited dengan pelaksanaan perkara itu seperti yang telah diluluskan di Parlimen untuk direalisasikan pada Pilihan Raya Umum Ke-15 pada tahun 2023 berpandukan kepada Perkara 55(3) Perlembagaan Persekutuan.

Menurutnya, persiapan ke arah pelaksanaan tersebut masih berjalan dan dalam tindakan sewajarnya termasuk gerak kerja seperti pembangunan sistem, semakan dan penyelarasan data, program libat urus susulan bersama agensi kerajaan, parti politik dan badan bukan kerajaan (NGO) serta persiapan lain. 

“Walaubagaimanapun, SPR bersikap realistik dengan perkembangan dan situasi semasa negara ketika ini yang secara umumnya masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengekang penularan wabak Covid-19. 

“Ini secara langsung menjejaskan perancangan dan persiapan SPR,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Beliau berkata, berdasarkan rekod terkini SPR, jumlah warganegara berumur 18 tahun dan ke atas adalah seramai 5.6 juta orang dan daripada jumlah itu, mereka yang berusia 18 hingga 20 tahun pula hanya seramai 1.2 juta orang.

“Manakala 4.4 juta orang adalah mereka yang berusia 21 tahun dan ke atas, yang mana sudah pun layak tetapi masih belum berdaftar sebagai pemilih,” katanya.

Abdul Ghani turut menyeru rakyat Malaysia yang berusi 21 tahun dan ke atas untuk segera mendaftar sebagai pemilih secara dalam talian melalui mysprdaftar.spr.gov.my atau hadir ke pejabat pilihan raya negeri atau pejabat pos yang berdekatan.

“SPR akan melancarkan sistem semakan pra-pendaftaran automatik melalui Portal SPR pada bulan Ogos depan, bagi membolehkan 5.6 juta bakal pemilih menyemak dan mengesahkan maklumat mereka.

“SPR juga sedang menyediakan satu laporan interim berhubung pendaftaran pemilih automatik dan Undi-18. Laporan ini dijangka akan dikeluarkan pada Sept 2021,” katanya. – Malaysiapost 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here