PERINTAH Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilaksanakan di dua kampung di Kota Belud, Sabah bermula esok susulan penularan wabak Covid-19 di lokaliti berkenaan.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata PKPD itu membabitkan Kampung Lebak Moyoh dan Kampung Siasai Tamu.
Menurutnya, pelaksanaan itu bermula esok hingga 8 April ini.
“Sehingga kini, Kementerian Kesihatan (KKM) telah melaksanakan 89 ujian saringan di Kampung Lebak Moyoh dan daripada jumlah itu sebanyak sembilan kes positif Covid-19 direkodkan.
“Manakala, 77 ujian saringan telah dilaksanakan di Kampung Siasai Tamu dan tujuh kes positif dilaporkan di kampung terbabit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, beliau berkata dua lagi lokaliti iaitu di Kampung Sinsingon dan Kampung Lotong, Nabawan, Sabah yang sebelum ini dikenakan PKPD akan ditamatkan esok.
Katanya, kes positif di lokaliti berkenaan menunjukkan trend penurunan dan kluster adalah terkawal serta semua kes positif sudah menerima rawatan.
Dalam perkembangan lain, Ismail berkata, 41 individu ditahan kerana ingkar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) semalam.
Menurutnya, daripada jumlah itu, 28 individu dikompaun dan 13 lagi direman.
“Antara kesalahan direkodkan ialah gagal menyediakan peralatan/merekod diri/pelanggan (24), tidak memakai pelitup muka (tujuh), rentas negeri/daerah tanpa kebenaran (lima), tiada penjarakan fizikal (dua) dan lain-lain (tiga),” katanya. – Malaysiapost

